Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

JaPen Sepang Hiburkan Penduduk di PKPD Taman Murni

By 4 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Tengku Syarinah Tengku Mustapa/Mohd Efandi Yaacob (Sepang)

SEPANG, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Penduduk di Taman Murni, Sungai Pelek di sini mengakui kehadiran petugas Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) yang melaksanakan program Info on Wheel (IoW) dapat menghiburkan mereka setelah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Seorang penduduk, Gobinanthan Bathumalai, 25, berkata kehadiran van JaPen sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebosanan apabila terpaksa berkurung di dalam rumah selama dua minggu.

“Tempoh dua minggu ini sangat mencabar bagi kami di sini untuk tinggal di dalam kawasan PKPD ini.

“Kehadiran van Jabatan Penerangan sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebosanan kami dengan selingan nyanyian lagu ketika membuat hebahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Penduduk Taman Murni yang menantikan ketibaan van penerangan yang membuat hebahan.

Penduduk Taman Murni yang menantikan ketibaan van penerangan yang membuat hebahan.

“Ramai yang terhibur terutama kanak-kanak yang sentiasa menantikan ketibaan van JaPen, di samping membuat hebahan turut memainkan lagu-lagu untuk menghiburkan kami,” katanya yang ditemui di kediamannya di taman perumahan tersebut, di sini hari ini.

Sependapat dengan beliau, Kurunathan G. Singaram, 64, pula menyifatkan kehadiran van JaPen amat ditunggu penduduk di kawasan berkenaan yang 80 peratus adalah berketurunan India.

“Setiap petang memang kami menunggu van JaPen yang memainkan lagu-lagu hindustan untuk menghiburkan kami.

“Kami tidak dapat melakukan sebarang aktiviti dan hanya duduk didalam rumah, oleh itu kehadiran van ini sedikit sebanyak menghiburkan kami di sini,” katanya.

Van Jabatan Penerangan Daerah Sepang yang digunakan bagi membuat hebahan sepanjang tempoh PKPD.

Van Jabatan Penerangan Daerah Sepang yang digunakan bagi membuat hebahan sepanjang tempoh PKPD.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Sepang Rozaimi Herman Zakaria, berkata pihak JaPen telah ditugaskan membuat hebahan dari semasa ke semasa di dalam kawasan PKPD Taman Murni sejak 30 Jun lalu.

“Hebahan tersebut untuk menyampaikan maklumat terkini dan SOP yang perlu dipatuhi oleh setiap penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.

“Selain hebahan maklumat, selingan nyanyian ini dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh setiap penduduk disini.

“Taman Murni telah dikenakan pelaksanaan PKPD bermula 30 Jun hingga 13 Julai ini berikutan peningkatan kes ketara iaitu kumulatif kes 114 sebelum PKPD dilaksanakan,” katanya.

-RI

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda