Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Tangki Bahan Kimia Pecah, Sungai Sengkang Alami Pencemaran

By 4 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Omar Pardi (Kulai)

KULAI, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Sungai Sengkang mengalami pencemaran bahan kimia ekoran dari salah satu tangki simpanan bahan kimia alkali dengan isipadu 1,000 liter telah pecah dan mengalir ke Sungai Sengkang, semalam.

Menurut Jurucakap Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Kulai Pegawai Bomba Tinggi ll Bahtiar Selamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.20 malam dan telah bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan seramai 21 anggota, tiga jentera bomba dan turut melibatkan Unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Negeri Johor.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat salah satu tangki simpanan daripada 30 buah tangki yang mengandungi bahan alkali telah pecah dan mengalir ke sungai yang berdekatan.

“Hasil siasatan HAZMAT mendapati terdapat tumpahan bahan kimia iaitu jenis methyltriocdylam monium chloride, hydrogen peroxide solution dan n-methylcyclohexylamine,” katanya ketika ditemui di Jalan Besar Kampung Baru Sengkang Kulai, di sini semalam.

Pasukan HAZMAT sedang mengambil sampel air sungai yang tercemar akibat salah satu tangki bahan kimia tersebut pecah.

Pasukan HAZMAT sedang mengambil sampel air sungai yang tercemar akibat tangki bahan kimia pecah.

Tambah beliau, bagi mengelakkan sisa bahan kimia tersebut terus mengalir ke sungai, tiga lapisan benteng telah dibuat.

“Terdapat dua orang penduduk telah mengalami gejala muntah selepas terhidu bau bahan kimia tersebut dan dikejarkan ke Hospital Kulai bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pihak bomba telah membuat pemeriksaan di lokasi kejadian bagi memastikan sekitar kawasan tersebut berada dalam keadaan selamat dan operasi telah ditamatkan pada pukul 2.35 pagi,” katanya.

Beliau memaklumkan pihaknya telah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Daerah Kulai berkaitan kejadian tersebut dan tindakan susulan akan segera dilaksanakan.

-NI-

Tinggalkan komen anda