Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lebih 2,500 Syarikat Diperakui Sebagai Organisasi Kemakmuran Bersama

By 4 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: MPC

PUTRAJAYA, 4 Jul (Malaysiaaktif) –  Lebih 2,500 syarikat telah diperakui sebagai “Organisasi Kemakmuran Bersama” sehingga bulan lepas kerana melaksanakan Sistem Upah Berkaitan Produktiviti (PLWS), menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

MPC berkata, sektor-sektor itu terdiri daripada pengeluaran, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan dan pengkuarian.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata melalui PLWS dan sijil perakuan e-Organisasi Kemakmuran Bersama (eSPO), MPC sedang memperkukuhkan daya tahan perniagaan agar mampu bertahan di luar pandemik COVID-19 dan menyumbang kepada inisiatif pemulihan ekonomi negara.

“Melalui PLWS, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpotensi untuk mencapai produktiviti dan keuntungan.

“Sehubungan itu, ia juga akan menyumbang kepada pertambahan upah. Manfaat yang diperolehi daripada fleksibiliti dalam sistem pampasan pekerja dan amalan positif pekerja yang lebih baik akan mewujudkan libat urus pekerja majikan dan hubungan perindustrian yang harmoni,” katanya dalam kenyataan semalam.

Platform dalam talian eSPO diwujudkan oleh MPC untuk penggiat industri agar dapat menilai sendiri komponen PLWS mereka dan mengeluarkan sijil perakuan kerana telah melaksanakan PLWS.

MPC berkata PLWS adalah sistem upah yang fleksibel dan berdaya saing yang mengagihkan kekayaan mengikut prestasi dan produktiviti majikan dan pekerja untuk memacu daya saing dan kemakmuran bersama organisasi.

MPC berkata ia berhasrat mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi dan menerima lebih banyak penyertaan bagi PLWS dan eSPO dalam kalangan komuniti PKS.

Untuk mencapai objektif itu, webinar mengenai PLWS@eSPO untuk PKS telah dianjurkan bersama oleh MPC dan Persatuan PKS Malaysia pada 23 Jun lepas.

“Webinar itu memberi penekanan bahawa pemegang saham dan pemimpin pengurusan PKS perlu melihat pandemik COVID-19 sebagai peluang yang tepat pada masanya untuk mereka memperkenalkan PLWS bagi menambah baik proses imbuhan susulan langkah mengurangkan kos operasi seperti mengurangkan waktu bekerja dan gaji serta cuti tanpa gaji.

“Insentif prestasi kerja yang diuruskan menerusi PLWS masih boleh dibuka kepada pekerja dalam keadaan pandemik supaya produktiviti boleh dikekalkan atau ditambah baik,” menurut MPC.

Untuk keterangan lanjut, layari laman web eSPO di http://www.mpc.gov.my/espo/.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda