Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

6,658 Kes Baharu, Selangor Kekal Tertinggi

By 4 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 4 Jul (Malaysiaaktif) – Sebanyak 6,658 kes baharu COVID-19 direkodkan di dalam negara semalam, menurun sedikit berbanding 6,982 kes dicatatkan kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam Twitter memaklumkan Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi sebanyak 3,047 kes diikuti Negeri Sembilan (699); Kuala Lumpur (616); Johor (414); Sarawak (361); Melaka (345); dan Sabah (322).

Pahang mencatatkan 200 kes diikuti Kedah (145); Pulau Pinang (142); Labuan (108); Perak (101); Kelantan (89); Terengganu (51); Putrajaya (16); dan Perlis (dua).

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan memaklumkan nilai RT atau R naught (RO) penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia pada 2 Julai adalah 1.07.

Negeri yang mencatatkan RO melebihi 1.0 adalah Pahang pada nilai RO 1.27, diikuti Putrajaya (1.13), Selangor (1.07), Pulau Pinang (1.07), Melaka (1.07), Kuala Lumpur (1.03), Kedah (1.03) dan Perak 1.00.

Beliau berkata daripada 6,658 kes baharu, 11 adalah kes import dan 6,647 melibatkan penularan dalam negara manakala sebanyak 5,677 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 700,215.

“Kes aktif kini mencatatkan 66,958 manakala jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) seramai 892 orang termasuk 443 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 107 kematian direkod semalam melibatkan 98 warganegara dan sembilan warga asing, menjadikan angka keseluruhan korban akibat wabak itu kini 5,434 orang.

Sementara itu, beliau memaklumkan 19 kluster baharu dikesan hari ini dengan 16 daripadanya adalah penularan di tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kluster pusat tahanan.

Kluster tempat kerja direkodkan ialah Industri Sungai Sembrong, Jalan Harmonium Tebrau, Industri Jalan Murni 12, Perindustrian Bakri Tiga dan Nusa Perintis Enam di Johor; serta Industri Seri Kembangan, Industri Taming Jaya, Zone B Selatan, Industri Jalan Sultan di Selangor.

Selain itu, kluster tempat kerja dikesan di Lorong Perusahaan Empat dan Jalan Nagasari Satu (Pulau Pinang); Jalan Haji Taha (Sarawak); Jalan Sri Raya (Melaka); Industri Jalan Tech Valley Satu (Negeri Sembilan); Lingkaran Syed Putra (Kuala Lumpur) dan Jalan Songsang (Pahang).

Bagi kluster komuniti pula adalah Kluster Dah Mata Ayer (Kedah) dan Kampung Jaya Setia Badang (Kelantan) manakala kluster pusat tahanan melibatkan Pagar Tebedu di Sarawak.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda