
Laporan/foto: Tengku Syarinah Tengku Mustapa/Mohd Efandi Yaacob (Sepang)
SEPANG, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 347 orang penduduk Taman Murni, Sungai Pelek menerima dos pertama vaksin mereka.
Pegawai Kesihatan Daerah Sepang Dr Mohd Nasir Hahib, berkata program pemberian dos pertama diberikan kepada mereka yang telah selesai menjalani ujian saringan pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut dan keputusannya negatif.
“Mereka yang layak telah diberikan borang vaksinasi oleh petugas kesihatan terlebih dahulu sebelum hadir ke khemah untuk mengambil suntikan vaksin.
“Program pemberian vaksin ini akan berlangsung selama dua hari bermula pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang,” katanya ketika ditemui di taman perumahan tersebut, di sini semalam.
Menurutnya, dijangka seramai 1,000 orang penduduk akan menerima vaksin ini setelah saringan menyeluruh diadakan pada awal PKPD dilaksanakan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Sepang Mohamad Zain A Hamid, berkata pemberian vaksin ini merupakan salah satu usaha bagi memastikan seluruh penduduk di Daerah Sepang menerima vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok.
“Negeri Selangor merupakan antara tiga buah negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi dalam pemberian vaksin harian dan insya-Allah menjelang penghujung bulan Julai ini, kita mampu mencapai jumlah 135,000 dos sehari dalam pemberian vaksin.
“Jumlah kes kematian yang naik mendadak kini juga turut membimbangkan dan vaksinasi merupakan kaedah terbaik untuk mengatasi jangkitan COVID-19 dan berharap agar dapat dilaksanakan dengan pantas dan segera supaya kes harian di negeri ini semakin menurun,” katanya.
-RI