Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Suntikan Vaksin di Luar Pusat Vaksinasi Pertama Kali di Peringkat Komuniti

By 10 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sharifah Alia Syed Nasir (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Program Outreach Vaksinasi COVID-19 Jabatan Kesihatan Negeri menerusi Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru buat pertama kalinya diadakan di peringkat komuniti.

Menurut Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kempas Dr Norlaila Najwa, berkata program ini diadakan bagi membantu penduduk luar bandar mendapatkan suntikan vaksin dos pertama mereka.

Hashida Hashim antara penerima vaksin Sinovac yang terawal hadir.

Hashida Hashim antara penerima vaksin Sinovac yang terawal hadir.

“Program ini mendapat sambutan daripada penduduk setempat dengan hampir 100 peratus individu yang tersenarai hadir mendapatkan suntikan vaksin sebagaimana yang dijadualkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pemilihan lokasi program ini adalah melalui perbincangan bersama-sama ketua kampung, penghulu serta ketua komuniti setempat dengan kerjasama dan bantuan dari kumpulan sukarelawan kampung, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RELA,” katanya ketika ditemui di Dewan Kampung Sinaran Baru, di sini semalam.

Tambah beliau, program ini melibatkan seramai 1,400 orang penduduk dari enam buah kampung rangkaian yang terdiri daripada Kampung Sinaran Baru, Kampung Maju Jaya, Kampung Baru Sri Aman, Kampung Tawakkal, Kampung Pemuda Jaya dan Taman Impian Jaya.

“Pusat suntikan dipecahkan kepada dua tempat iaitu di Dewan Kampung Sinaran Baru dan Balai Islam Kampung Maju Jaya Kempas yang mana mereka akan menerima suntikan vaksin Sinovac,” ujarnya.

Keadaan di dalam dewan menunggu suntikan.

Keadaan di dalam dewan menunggu suntikan.

Dr Norlaila memaklumkan, untuk suntikan dos kedua ianya akan dilaksanakan selepas tiga minggu dari tempoh suntikan diterima.

“Saya berharap melalui pelaksanaan program ini mampu meningkatkan lagi jumlah penerima vaksin di sini.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu mencapai sasaran imuniti berkelompok dalam masa terdekat,” katanya.

Hashida Hashim, 57, antara penerima suntikan vaksin yang ditemui berkata, beliau tidak dapat tidur lena semalam kerana berdebar dan gementar namun beliau tetap bersemangat untuk hadir menerima vaksin.

“Saya menerima suntikan pertama pada hari ini, yang mana melalui program ini, saya tidak perlu untuk ke Pusat Vaksinasi lain yang terletak agak jauh dari tempat tinggal saya.

“Kemudahan yang disediakan ini sangat memudahkan para penduduk di sekitar kawasan ini untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda