
Laporan/foto: Tengku Syarinah Tengku Mustapa/Juliawati Razali (Sepang)
SEPANG, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Penduduk Taman Murni, Sungai Pelek yang telah dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 30 Jun hingga 13 Julai ini, mula menerima bantuan barang makanan asas hari ini.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang, Mohamad Yusnaily Mohamad Yusof, agihan barang makanan asas tersebut melibatkan hampir 1,500 orang penduduk dan meliputi 465 buah rumah secara keseluruhannya.
“Pengagihan pada hari ini melibatkan seramai 50 orang anggota yang terdiri dari kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Sepang serta Majlis Perbandaran Sepang bermula pukul 11 pagi sehingga jam 12 tengahari.
“Sebanyak tujuh buah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah van digunakan bagi membuat edaran barangan dari rumah ke rumah.
“Kaedah ini diguna pakai bagi mengelakkan penduduk keluar beramai-ramai bagi mendapatkan bantuan yang diberikan.
“Bantuan barangan kering seperti beras, telur, minyak masak dan tepung selain ayam mentah turut diagihkan bagi membantu penduduk di sekitar Taman Murni ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima bantuan dari Jabatan Penerangan Daerah Sepang yang membuat hebahan kepada seluruh penduduk untuk menyediakan sebuah kerusi di hadapan pagar rumah.
“Tindakan tersebut untuk memudahkan pihak JKM meletakkan barangan yang diedarkan.
“Sebarang aduan mengenai makanan atau perkara lain boleh disalurkan melalui talian hotline 0193937192,” jelasnya.
Menurutnya, Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid turut hadir meninjau keadaan semasa di PKPD Taman Murni.
-RI