Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

SMK Labuan Kekal 100 Peratus Lulus STPM

By 2 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/SMK Labuan

LABUAN, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan berjaya mengekalkan pencapaian lulus 100 peratus untuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2020.

Menurut Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah, secara keseluruhan prestasi lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran pada tahun 2020 bagi calon sekolah kerajaan ialah 100 peratus mengekalkan pencapaian tahun 2019 manakala lulus penuh peringkat kebangsaan tahun 2020 bagi calon sekolah kerajaan ialah 98.75 peratus.

“Dari segi jumlah prinsipal pada tahun 2020, 76 calon mendapat empat prinsipal iaitu 55.88 peratus, 31 calon mendapat tiga prinsipal (22.79%), 19 calon mendapat dua prinsipal (13.97%) dan 10 calon mendapat satu prinsipal (7.35%).

“Pada tahun 2020, seramai 36 calon mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas iaitu 26.47%,” katanya semasa mengumumkan keputusan STPM 2020 melalui platform Google Meet, semalam.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya menyumbang kepada pencapaian lulus 100 peratus dan juga 36 orang pelajar yang telah berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas.

“Terima kasih juga kepada semua guru yang telah berusaha dengan gigih melaksanakan pembelajaran dalam suasana pandemik COVID-19 yang sangat mencabar dan kepada PIBG SMK Labuan yang sentiasa memberi bantuan kewangan untuk melaksanakan program-program kecemerlangan setiap semester.

“Penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Labuan yang membantu dari segi penempatan guru-guru Tingkatan Enam serta bantuan dalam aspek kurikulum,” jelasnya.

Sementara itu, pelajar Jayne Carey Wong menjadi pelajar terbaik STPM 2020 peringkat Labuan dengan mendapat PGNK 3.84.

Antara pelajar lain yang mencapai PGNK 3.0 ke atas ialah Michelle Wong Fui Ping (3.83), Susan Lee Mei San (3.75),Nurul Ateyrah Yusaili (3.67), Hasjuhwiyah Jamal (3.67), Norhidayahani Natasha Roslen (3.67), Norhafiza Amilah (3.67), Ayisha Mansor (3.67), Veronlynn Irene Anak Joseph (3.59) dan Yapp Sei Nei (3.50).

-RI

Tinggalkan komen anda