
PUTRAJAYA, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) ketiga Sime Darby Plantation Bhd (SDP) di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya, Selangor, akan menyediakan kemudahan suntikan vaksin COVID-19 untuk kira-kira 6,500 pekerja ladang.
Menerusi kenyataannya pada Isnin, syarikat itu berkata PPVIN tersebut tidak hanya menyediakan perkhidmatan untuk pekerja sektor minyak sawit, getah dan sektor pertanian SDP di negeri tersebut, tetapi turut melibatkan pekerja ladang syarikat-syarikat lain.
Menurutnya, PPVIN tersebut juga berperanan sebagai usaha rintis bagi sektor perladangan di Semenanjung Malaysia di bawah Program Vaksinasi Untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) yang diterajui oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) serta Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).
PPVIN Tennamaram itu dibuka hasil bantuan serta kerjasama agensi kerajaan berkaitan termasuk Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan, MPIC, MPOA dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.
Sementara itu, Pengarah Urusan SDP Mohamad Helmy Othman Basha berkata adalah penting untuk pekerja perladangan selaku nadi sektor pertanian negara, turut diberi peluang untuk mendapat suntikan vaksin.
“Walaupun keadaan kesihatan dan kesejahteraan pekerja ini amat diutamakan, kami juga perlu memastikan bahawa keseluruhan langkah pemberian vaksin ini adalah secara sukarela dan pekerja terbabit memahami proses serta keperluannya,” katanya.
Pada awal bulan ini, SDP telah membuka dua PPVIN di Ladang Rajawali dan Lavang di Bintulu, Sarawak yang melibatkan usaha pemberian suntikan vaksin untuk lebih 4,000 pekerja.
Pada 17 Jun, 2021, SDP turut menjadikan kawasan ibu pejabatnya di Ara Damansara, Selangor sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Orang Kurang Upaya (OKU) secara pandu lalu untuk golongan tersebut serta penjaga mereka.
Sebanyak 13,500 orang yang layak telah mendaftar bagi program itu yang melibatkan pemberian sejumlah 7,255 dos suntikan setakat 23 Julai, 2021.
— BERNAMA