Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu 24,599, Tertinggi Sejak Pandemik Melanda Negara

By 27 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Malaysia semalam merekodkan 24,599 kes baharu COVID-19, angka harian tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Facebooknya berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,640,843.

Beliau berkata Selangor terus menjadi negeri yang mencatat kes paling tinggi iaitu 6,936 kes diikuti Sabah (3,487); Johor (2,785); Pulau Pinang (2,078); Sarawak (2,024); Kedah (1,538); dan Kelantan (1,312).

Perak pula mencatat 1,170 kes; Kuala Lumpur (881); Pahang (690); Terengganu (567); Negeri Sembilan (526); Melaka (515); Perlis (67); Putrajaya (20); dan Labuan (tiga).

Kelmarin, Malaysia merekodkan 22,642 kes baharu wabak itu dengan angka harian tertinggi direkodkan pada 20 Ogos iaitu sebanyak 23,564 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan berkata jumlah kematian semalam turut merekodkan angka tertinggi apabila seramai 393 orang meninggal dunia akibat wabak itu dengan 100 orang daripadanya melibatkan kematian di luar hospital atau ‘brought-in dead’ (BID).

“Seramai 294 orang adalah warganegara manakala 99 orang lagi bukan warganegara,” katanya. Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan semalam, sebanyak 23,939 kes atau 97.3 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua, manakala 660 kes atau 2.7 peratus kategori tiga, empat dan lima dengan 80.33 peratus daripada jumlah kes dilaporkan itu tidak lengkap vaksinasi.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes sembuh turut merekodkan angka tertinggi dalam tempoh sebulan yang lepas iaitu sebanyak 22,657 menjadikan kumulatif kes sembuh adalah 1,640,843.

“Jika dibandingkan pada 25 Julai 2021, jumlah kes yang didiscaj daripada hospital adalah 1,562 orang dan jumlah ini meningkat kepada 2,153 orang pada 25 Ogos 2021…Ini adalah petanda yang positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata seramai 909 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 487 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes aktif pula kini 265,841 kes manakala sebanyak 35 kluster baharu dikesan dengan 20 daripadanya melibatkan tempat kerja, komuniti (sembilan), kumpulan berisiko tinggi (empat) dan masing-masing satu bagi pusat tahanan dan pendidikan.

Berdasarkan data terkini, nilai kebolehjangkitan COVID-19 atau R-Naught (Rt) Malaysia kelmarin adalah 1.02 dengan negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi ialah Sarawak dan Perlis iaitu 1.22 diikuti Sabah 1.21 dan Pulau Pinang 1.12.

Negeri-negeri yang mencatat nilai Rt di bawah 1 pula adalah Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Negeri Sembilan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda