Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Norfazilah Ahmad (Politeknik Nilai)
BANDAR ENSTEK, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Penganjuran e-Festival Agromakanan dan Bioteknologi Politeknik Malaysia 2021 (e-FAMB2021) mampu melahirkan sumber manusia yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif dan inovatif dalam menjalankan kajian dalam pelbagai disiplin yang terlibat.
Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Mohd Nor Sahudin, berkata tema Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ke Arah Kelestarian Agroteknologi adalah bersesuaian dengan aspirasi negara dalam memajukan bidang pertanian.
“Pengukuhan bidang penyelidikan serta pembangunan yang menjurus kepada Dasar Agromakanan Negara adalah satu aspirasi dalam menuju pembangunan serta mampu meletakkan Malaysia sebagai pemain penting rantaian bekalan global melalui industri pertanian pintar.
“Penganjuran festival e-FAMB2021 mampu memberikan impak besar dalam bidang agroteknologi, teknologi makanan dan bioteknologi serta meningkatkan hubungan ilmiah anta warga politeknik, kolej komuniti, institusi pendidikan tinggi serta agensi kerajaan dan swasta,” katanya ketika merasmikan festival tersebut di Politeknik Nilai, di sini baru-baru ini.
Tambah Mohd Nor, festival ini juga diharapkan dapat membuka mata industri kepada kepakaran dan kebolehan yang ditonjolkan dalam pembangunan modal insan untuk melahirkan institusi mampan dan graduan TVET tersedia masa hadapan yang bercirikan warganegara global berkemahiran tinggi seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
“Saya berharap melalui penganjuran festival ini Dasar Agromakanan Negara dapat didokong yang memberi tumpuan khusus kepada peningkatan pengeluaran produk makanan tempatan melalui penerokaan pertanian bernilai tambah tinggi,” ujarnya lagi.
Sementara itu, pemenang pingat emas kategori Inovasi Kluster A Nurzuliza Jamirsah, berkata e-FAMB2021 merupakan satu platform yang sangat bagus dalam mencungkil bakat warga politeknik dalam menghasilkan kajian yang bermutu dan terkini.
“Saya berharap festival ini diteruskan pada masa datang agar dapat mengetengahkan nakat dalam penciptaan inovasi dan hasil kajian saintifik,” katanya.
-FF