
Laporan/foto: Khairul Othman/Media MBNS(Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 3 Julai (MalaysiaAktif) – Seramai 36 pemohon yang layak bagi Rumah Mampu Milik (RMM) Type A Taman Bukit Jimah ditawarkan kediaman tanpa perlu melalui proses cabutan undi selepas jumlah penerima yang hadir lebih rendah berbanding jumlah unit yang disediakan.
Majlis Pengundian Rumah Mampu Milik (RMM) Type A Taman Bukit Jimah yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung FELDA Sendayan, semalam, disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
“Alhamdulillah, semua pemohon yang melepasi tapisan dan hadir pada hari ini akan ditawarkan sebuah Rumah Mampu Milik tanpa perlu melalui proses cabutan undi. Sebuah rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi merupakan asas kepada kesejahteraan keluarga dan permulaan kehidupan yang lebih baik,” katanya di sini.
Beliau berkata projek RMM Type A Taman Bukit Jimah melibatkan pembinaan 73 unit rumah berharga tidak melebihi RM110,000 seunit dan kini telah mencapai kira-kira 50 peratus kemajuan pembinaan dengan jangkaan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Januari 2028.
Aminuddin turut memaklumkan bahawa sejak Jun 2018 hingga 30 April lepas, kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan sebanyak 30,484 unit Rumah Mampu Milik merangkumi Type A, Type B dan Type C sebagai usaha berterusan memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri.
Dalam majlis sama, beliau menyempurnakan simbolik pecah tanah Projek Pembinaan Surau Taman Bukit Jimah yang dibina sepenuhnya oleh Hartabina Perwira (Sendayan) Sdn. Bhd. di atas tapak seluas 1.08 ekar.
Majlis itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Sembilan dalam memperkukuh agenda perumahan mampu milik serta menyediakan kemudahan awam yang lengkap demi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-AA-




