
Laporan/foto: Hasnida Sarani/Media MBNS(Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 3 Julai (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM883,000 sebagai insentif kepada 203 pelajar cemerlang menerusi Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Sesi 2/2026 dan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 yang berlangsung di Klana Resort, di sini, semalam.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Pada majlis tersebut, seramai 170 siswazah cemerlang kelas pertama menerima insentif sebanyak RM5,000 seorang, manakala 33 pelajar cemerlang STPM 2025 menerima RM1,000 setiap seorang sebagai penghargaan atas kecemerlangan akademik masing-masing.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun bergambar bersama sebahagian daripada penerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Sesi 2/2026 dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2025
Inisiatif berkenaan diteruskan menerusi Yayasan Negeri Sembilan sebagai usaha berterusan kerajaan negeri memperkasakan agenda pendidikan.
Berucap pada majlis itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri melihat setiap peruntukan dalam bidang pendidikan sebagai satu pelaburan strategik bagi melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan Negeri Sembilan pada masa hadapan.
“Saya percaya setiap peruntukan yang disalurkan untuk pendidikan bukanlah satu perbelanjaan, sebaliknya merupakan pelaburan untuk masa depan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan pelbagai inisiatif pendidikan melalui Yayasan Negeri Sembilan bagi memastikan lebih ramai anak negeri berpeluang melanjutkan pengajian dan mencapai kecemerlangan.
“Kepada semua penerima anugerah, jadikan kejayaan hari ini sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih besar. Teruslah menimba ilmu, berbakti kepada masyarakat dan membawa nama baik Negeri Sembilan walau di mana sahaja berada,”ujarnya.
Beliau turut mengingatkan para penerima agar sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa, guru serta semua pihak yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan mereka.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sembilan dalam mengiktiraf kecemerlangan akademik serta membangunkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing demi kemajuan negeri dan negara.
-AA-




