Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

4,343 Kes Baharu, Kekal Arah Aliran Penurunan

By 8 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Jumlah kes harian COVID-19 di Malaysia kekal menunjukkan arah aliran penurunan dengan 4,343 kes baharu dicatat semalam daripada 4,701 kelmarin menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,506,309.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah kes baharu yang direkodkan juga lebih rendah berbanding kes sembuh iaitu 5,190 kes, sementara jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 2,412,395.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini (Ahad), 68 kes atau 1.6 peratus melibatkan Kategori Tiga, Empat dan Lima, manakala baki 4,275 kes atau 98.4 peratus lagi adalah terdiri daripada Kategori Satu dan Dua,” katanya dalam satu kenyataan mengenai situasi COVID-19 semalam.

Beliau berkata jumlah berkenaan juga termasuk sembilan kes import melibatkan enam warga tempatan dan tiga bukan warganegara dan 4,334 kes penularan tempatan melibatkan 4,120 warga tempatan dan 214 bukan warganegara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat 554 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 272 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, sebanyak tujuh kluster baharu dicatatkan melibatkan kategori komuniti, tempat kerja dan pendidikan tinggi di Kelantan, Johor, Sabah, Pulau Pinang dan Melaka, menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 325 kluster.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata negara kini merekodkan nilai 0.91 dengan Putrajaya mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.09 dan nilai sifar direkodkan di Labuan.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda