Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/PPL Labuan
LABUAN, 19 November (Malaysiaaktif) – Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG-i) yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee pada 10 November 2021 lalu terima sambutan menggalakkan daripada ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di wilayah ini.
Menurut kenyataan rasmi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Labuan, lebih dari 100 orang ahli PPK memohon untuk mendapatkan PELADANG-i di Agrobank Cawangan Labuan dan angka itu dijangka akan terus meningkat dari masa ke masa.
“Kewujudan kad pintar ini adalah selaras dengan matlamat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ke arah Revolusi Industri 4.0, Dasar Agro Makanan Negara 2.0 (DAN2.0) selain dapat digunakan oleh pihak MAFI untuk mengakses maklumat bagi menyampaikan pelbagai bantuan, subsidi dan insentif.
“Program kerjasama strategik antara LPP dan Agrobank ini menawarkan gabungan ciri-ciri tiga dalam satu iaitu sebagai kad identiti keahlian di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang berkonsepkan transaksi perbankan moden dan bakal dilengkapi manfaat perlindungan Takaful Kasih Plus sehingga RM 5,000 dengan sumbangan minimum yang perlu dijelaskan serendah RM 5.00 setahun.
“Kelebihan, keistimewaan dan kemudahan yang ditawarkan melalui PELADANG-i ini juga mampu menarik minat golongan belia berumur 18 tahun ke atas untuk menjadi ahli dan menyertai pergerakan dalam Pertubuhan Peladang,” menurut kenyataan tersebut, semalam.
Majlis Penyerahan PELADANG-i telah berlangsung semalam bertempat di Agrobank Cawangan Labuan yang disempurnakan oleh Pengarah LPP Labuan Sophian Niza Ismail bersama Timbalan Pengurus Cawangan Agrobank Labuan Norriah Undoong.
“Majlis penyerahan ini kepada Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Labuan Selatan, PPK Labuan Utara dan beberapa Ahli Jawatankuasa PPK yang mewakili ahli-ahli Pertubuhan Peladang itu mencerminkan komitmen serta sokongan ahli PPK di Labuan terhadap program itu,” katanya.
-RI