Laporan/foto: Judy Henry (Sarawak)
KUCHING, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Inisiatif pembinaan menara ‘Panggau Dayak’ menunjukkan komitmen masyarakat dayak untuk terlibat dalam dunia perdagangan dan perindustrian sambil terus mengekalkan dan mempromosikan budaya Dayak.
Menerusi tinjauan yang dilakukan, rata-rata masyarakat dayak di sini memberi maklum balas positif terhadap initiatif kerajaan negeri membangunkan projek pembinaan dua blok menara pejabat 9 tingkat kepunyaan Yayasan Kebudayaan Sarawak (DCF) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI).
Penyelia kejuruteraan Syarikat Swasta Reynold Rentap, 26, menyifatkan initiatif daripada kerajaan negeri untuk menyokong masyarakat dayak dalam pemuliharaan dan promosi kebudayaan akan memberi manfaat kepada generasi muda.
“Panggau Dayak akan secara tidak langsung berfungsi sebagai hub yang menyelia semua aktiviti-aktiviti seperti promosi, pemasaran dan publisiti yang akan mengangkat adat budaya masyarakat dayak ke persada dunia,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuching, di sini semalam.
Seorang pengusaha warung tempatan Wan Ajan, 49, berkata pengusaha kecil-kecilan sepertinya turut menerima baik pembangunan projek ini.
“Selain daripada menjalankan perniagaan warung, isteri saya juga terlibat dengan pembuatan kraftangan seperti tikar tradisional.
Dengan adanya Panggau Dayak ini, maka saya dan kaum dayak yang lain akan ada tempat sebagai rujukan dan lokasi untuk memasarkan produk kami,” jelas beliau.
Selain itu, ahli Persatuan Dayak-Iban, Cheraly Apoi, 37, menyatakan rasa bangga dengan kewujudan Panggau Dayak.
“Selaku individu, saya amat merasa bangga masyarakat dayak masih diberi perhatian oleh kerajaan negeri dengan membangunkan projek ini, terutamanya golongan kami yang hidup di bandar amat terkesan dengan pandemik.
“Saya telah melakukan pelbagai kerja seperti menternak ayam kampung dan melakukan kerja baikpulih kenderaan untuk meneruskan kelangsungan hidup dana mat berharap agar tidak ketinggalan untuk bersama-sama masyarakat dayak yang lain menerima manfaat daripada pembangunan projek ini apabila ianya siap kelak,” kata Cheraly.
Pembangunan pada tapak 5.9 ekar tersebut meliputi pembinaan blok kondominium dan pangsapuri yang dicorakkan keseluruhannya dengan ciri-ciri kebudayaan dayak.
-ZS-