Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

“Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian” Tema Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Sabah

By 19 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Saberiya Patiroi (Kota Kinabalu)/GPMIS

KOTA KINABALU, 19 Nov (Malaysiaaktif) – “Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian” menjadi tema Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Sabah yang akan diadakan pada 28 November nanti.

Presiden Gabungan Persatuan Masyarakat India Sabah (GPMIS) Datuk A.Nagaraju, berkata sambutan julung kali diadakan itu menekankan aspek keharmonian dan perpaduan seperti dahulu berdasarkan norma baharu dengan kehadiran tetamu jemputan yang terhad.

“Sambutan ini diraikan dengan kepelbagaian kaum yang hidup dalam suasana harmoni dengan identiti unik yang menjadi kunci keeratan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Justeru, sambutan akan turut diraikan bersama 81 etnik yang terdapat di negeri ini sebagai lambang menghormati keunikan kepelbagaian kaum dengan meraikan sambutan perayaan dalam suasana muhibah,” katanya ketika ditemu bual di konti radio SABAHfm, di sini semalam.

Presiden Gabungan Persatuan Masyarakat India Sabah (GPMIS), Datuk A.Nagaraju.

Presiden Gabungan Persatuan Masyarakat India Sabah (GPMIS), Datuk A.Nagaraju.

Tambah A.Nagaraju, sambutan akan diadakan secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu turut menyemai semangat kekeluargaan yang kukuh dan saling hormat-menghormati antara pelbagai kaum dan budaya dengan mengutamakan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

“Konsep tersebut telah lama wujud dalam kalangan masyarakat makmur Sabah yang sentiasa menunjukkan kebersamaan dalam semua jenis sambutan di negeri ini.

“Keunikan sambutan kali ini akan menyerlahkan lagi semangat kekitaan antara semua komuniti seterusnya mengamalkan budaya penyayang dan saling menghargai antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap melalui sambutan ini ia dapat menerapkan nilai integrasi kaum dalam hidup bermasyarakat dengan menjadikan perayaan sebagai salah satu tapak integrasi yang utuh.

-RI

Tinggalkan komen anda