Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Turun kepada 4,239 Kes

By 29 November 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 terus menurun kepada 4,239 kes berbanding 5,097 kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik itu di negara ini sebanyak 2,623,816 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu yang direkodkan itu, 4,227 merupakan kes jangkitan tempatan melibatkan 4,065 warganegara, manakala baki 12 adalah kes import membabitkan tujuh warganegara.

“Daripada 4,239 kes baharu yang direkodkan, hanya 73 merupakan kategori tiga, empat dan lima manakala 4,166 kes adalah kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi COVID-19 semalam.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit COVID-19 yang tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala kategori tiga, empat dan lima pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh pula mencatat 5,007 kes menjadikan keseluruhan kes yang telah pulih adalah 2,527,052.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata 418 kes disahkan pesakit COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 173 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak tiga lagi kluster baharu dikesan semalam dengan terdapat 228 kluster masih aktif di seluruh negara.

Beliau berkata nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) Malaysia adalah 0.96 setakat kelmarin, menurun berbanding 0.97 yang dilaporkan pada 26 November.

Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda