Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Penggunaan Darah di Hospital Meningkat Ketika Pandemik COVID-19

By 28 November 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

PUTATAN, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Penggunaan darah di hospital kian meningkat saban hari terutama pada masa pandemik dan endemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya, menyeru golongan belia untuk segera tampil menderma darah bagi meningkatkan bekalan darah di Unit Tabung Darah di negeri ini

“Golongan belia merupakan golongan yang aktif dari segi fizikal dan peluang untuk menderma darah adalah lebih tinggi berbanding golongan dewasa.

“Oleh itu, kita seru kepada orang ramai terutama golongan muda untuk tampil menderma darah kerana bukan saja baik untuk kesihatan serta dapat membantu kepada pihak yang memerlukan.

Shahelmey ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang belia yang berjaya menderma darah pada program tersebut sambil diperhatikan Nanih (kiri) Mohd Dahali (dua dari kiri) dan Ahmad (dua dari kanan).

Shahelmey (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang belia yang berjaya menderma darah pada program tersebut sambil diperhatikan Nanih (kiri).

“Melalui pemerhatian jelas kempen-kempen derma darah ini menujukkan peningkatan terutama ketika Sabah telah memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila ramai golongan belia mula tampil menderma darah berbanding ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelas Shahelmey.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Derma Darah Peringkat Daerah Putatan 2021 anjuran bersama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Daerah Putatan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Union dan KRT Taman Teluk Villa, di sini semalam.

Pada program sehari itu, PBSM Daerah Putatan berjaya mengumpul sebanyak 45 pain darah untuk kegunaan Unit Tabung Darah Jabatan Patologi, Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Ahmad Mahmood.

Kempen kesedaran menderma darah perlu dipergiatkan bagi kelangsungan kehidupan – Ahmad Mahmood.

Dalam program yang sama, Pengerusi KRT Taman Teluk Vila Ahmad Mahmood, berkata program yang dilaksanakan secara bersama dengan PBSM Daerah Putatan ini adalah bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menderma darah kepada masyarakat umum terutama bagi kes rawatan kecemasan serta pesakit Talasemia yang amat memerlukan bekalan darah untuk kelangsungan kehidupan.

“Darah ini bukan sesuatu yang mudah untuk dicari, ini memerlukan kesedaran dan keikhlasan individu yang sihat untuk menyumbangkan satu pain darah bagi kegunaan individu lain yang amat memerlukan,” jelasnya.

Sementara itu, penderma pertama pada program tersebut, Jaidi Sabudin, 47, terpanggil untuk menyertai program tersebut di atas kesedaran tentang kebaikan menderma darah terutama dari aspek kesihatan diri.

Jaidi tenang ketika persediaan menderma darah.

Jaidi tenang ketika persediaan menderma darah.

Beliau yang telah menderma darah sebanyak 16 kali menjelaskan, aktiviti ini adalah baik untuk kesihatan terutama pada golongan lelaki kerana membolehkan sel darah dalam badan diperbaharui seperti menstabilkan zat besi dalam darah, menurunkan kalori serta menghindari diri dari risiko sakit jantung dan kanser.

“Selain daripada itu, dengan menderma darah, kita sebenarnya dapat menyelamatkan nyawa tanpa batas agama, budaya, bangsa dan jantina serta boleh dianggap sebagai suatu sedekah amal jariah,” tambahnya.

Hadir sama, Ketua Daerah Putatan Datuk Mohd Dahali Matsin serta Pengerusi PBSM Daerah Putatan, Nanih Abah.

-RI

Tinggalkan komen anda