Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kompaun Akta 342 Meningkat 37 Peratus pada Minggu Epidemiologi ke-46

By 23 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Kompaun yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada individu meningkat sebanyak 37 peratus pada minggu epidemiologi ke-46 iaitu dari 14 November hingga 20 November berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata sebanyak 344 kompaun dikeluarkan kepada individu pada minggu epidemiologi ke-46 berbanding 251 kompaun pada minggu ke-45.

“Peningkatan kompaun yang dikeluarkan ini menunjukkan masih ramai penduduk Malaysia yang alpa terhadap pengamalan prosedur operasi standard (SOP) sebagai pencegahan COVID-19 seterusnya berisiko tinggi untuk menyebarkan atau mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham kesalahan paling tinggi ialah gagal menggunakan aplikasi MySejahtera atau mencatatkan nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis, lain-lain kesalahan di bawah Akta 342, gagal memakai pelitup muka, gagal mengamalkan penjarakan fizikal, pemilik premis gagal menyediakan peralatan saringan suhu yang berfungsi serta gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri.

Beliau berkata setiap minggu KKM sentiasa giat melakukan aktiviti penguatkuasaan pematuhan SOP di seluruh negeri.

Beliau berkata indikator utama jangkitan COVID-19 menunjukkan trend penurunan kecuali purata kes aktif yang meningkat enam peratus dalam minggu epidemiologi ke-46 berbanding minggu sebelumnya.

Katanya purata kes aktif menunjukkan peningkatan daripada 62,224 kes pada minggu epidemiologi ke-45 kepada 65,722 kes dalam minggu epidemiologi ke-46.

Menurut Dr Noor Hisham trend penurunan kes aktif yang dulunya konsisten selama 10 minggu kini menunjukkan peningkatan semula selepas lima minggu kebenaran rentas negeri diumumkan.

“Kesan peningkatan kes baharu dan kes aktif selama dua minggu berturut-turut ini dapat dilihat menerusi kemasukan kes ke fasiliti kesihatan terutama bagi pesakit kategori tiga hingga lima mulai meningkat,” katanya.

Menurut beliau walau bagaimanapun keberkesanan vaksin COVID-19 dalam mengurangkan kematian terus dapat dilihat dengan secara keseluruhannya terdapat penurunan kes kematian, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengenai status terkini kes COVID-19 di Malaysia, beliau berkata sebanyak 5,628 kes sembuh dilaporkan setakat 12 tengah hari semalam berbanding 4,885 kes baharu melibatkan 18 kes import dan 4,867 kes tempatan.

Beliau berkata daripada 4,885 kes yang dilaporkan semalam, 4,794 kes atau 98.1 peratus adalah dalam kategori satu dan dua manakala 91 kes atau 1.9 peratus lagi adalah kategori tiga, empat dan lima.

Dr Noor Hisham berkata maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dengan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda