Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MAFI Laksana R&D Varieti Benih Padi Baharu

By 21 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti benih padi baharu sedang dilaksanakan dengan memfokuskan kepada pembangunan varieti bersesuaian dengan masalah setempat.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan semalam menyatakan masalah setempat termasuk air masin, kawasan kurang air (tadahan hujan), kemarau dan kawasan hotspot penyakit serta perosak.

“Varieti-varieti ini akan diperkenalkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” menurut kenyataan dikemuarkan MAFI sempena Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Padi di Sekinchan, Selangor, semalam.

Kerajaan sentiasa memberi penekanan khusus bagi meningkatkan perbelanjaan dan pelaburan awam untuk tujuan R&D, bagi memastikan kelestarian pengeluaran varieti padi baharu dalam usaha meningkatkan kecekapan pengeluaran dan produktiviti hasil pertanian, pada masa hadapan.

MAFI turut memaklumkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) bekerjasama dengan syarikat panel pengeluar benih sah bagi menjamin kesediaadaan benih untuk petani.

Menurut kenyataan itu, beberapa syarikat juga memohon untuk menjadi pengeluar benih daftar dan sah bagi padi wangi Kembang Sari dan varieti padi wangi MRQ 103 yang bakal dilancarkan pada tahun depan.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata MAFI melalui MARDI sentiasa proaktif melaksanakan pembangunan varieti benih padi baharu menerusi R&D pertanian secara berterusan.

Menyentuh mengenai benih padi baharu IS21, beliau berkata pembangunan varieti padi secara berterusan di negara ini adalah amat diperlukan bagi memastikan rantaian nilai bagi industri padi dan beras negara tidak terganggu.

“Ini juga dalam menghadapi pelbagai isu dan cabaran seperti serangan penyakit pokok atau serangga makhluk perosak, bencana alam seperti kemarau dan banjir, dan sebagainya. Tanpa varieti padi yang rintang penyakit dan berdaya tahan, maka ia akan menjejaskan pengeluaran beras dan sekuriti bekalan makanan negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan benih padi IS21, yang mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca tidak menentu dan rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering menyerang dan merugikan pesawah.

MAFI turut mengalukan dan menggalakkan jabatan, agensi serta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk bekerjasama rapat dalam pembangunan varieti benih padi baharu, dengan mengambil kira perubahan persekitaran bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi.

Sehingga kini, terdapat 57 varieti benih padi telah diisytihar oleh kerajaan sejak 1964, yang terdiri daripada padi biasa atau ‘inbred’, padi wangi, padi warna, padi rintang racun herba dan padi aerobik.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda