Laporan/foto: Asmidar Zainol/Vicky S. Matanjang (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Masyarakat Hindu yang akan menyertai upacara ‘puja’ esok sempena sambutan Deepavali dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Presiden Kuil Sri Pasupathinath Alayam Kota Kinabalu Datuk Dr K Mathavan, berkata pihaknya menjangkakan lebih 300 orang penganut agama Hindu akan mengunjungi kuil tersebut di sini esok.
“Sempena ucapara sembanyang khas, kuil akan dibuka dua sesi iaitu dari pukul 7.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan sesi kedua pula mulai 4.00 petang hingga 9.00 malam.
“Walau bagaimanapun, orang ramai masih boleh datang pada waktu rehat untuk melaksanakan upacara sembahyang masing-masing.
“Kita mengehadkan kapasiti kepada 50 orang pada satu-satu masa di dalam kuil dan boleh mengambil bahagian dalam ucapara sembahyang selama 30 hingga 40 minit dan selepas itu kita akan benarkan giliran untuk orang lain pula,” jelasnya yang ditemui ketika membuat persiapan di kuil tersebut, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Hindu Sangam Malaysia Negeri Sabah, berkata pada tahun ini sambutan di kuil berkenaan diadakan secara sederhana dengan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Kita mengalu-alukan kehadiran penganut Hindu untuk datang bersembahyang dan meraikan Deepavali tetapi mahu setiap orang yang hadir mematuhi SOP yang ditetapkan demi untuk kebaikan bersama.
“Kanak-kanak dibenarkan untuk hadir dengan syarat ibu bapa mereka telah lengkap divaksin,” ujarnya.
Selain itu menurut beliau, demi melancarkan sambutan esok, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memantau pematuhan SOP.
“Terdapat sebanyak 4,000 penganut Hindu di negeri ini, yang terdiri daripada penjawat awam, pekerja swasta dan juga pelajar universiti yang akan meraikan perayaan tersebut di sini,” katanya.
-RI