Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Penambahbaikan Dasar, Tadbir Urus Niaga Percepat Transformasi Industri

By 2 November 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Langkah kerajaan untuk memacu produktiviti dan daya saing negara dengan bertindak memudahcara inisiatif penambahbaikan dasar dan tadbir urus perniagaan, dijangka mampu mempercepat transformasi industri di peringkat sektor dan seterusnya rantaian nilai lebih tinggi.

Sehubungan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyifatkan cadangan dalam Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, juga sejajar dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) yang inklusif, mampan dan seimbang.

Cadangan itu termasuk peruntukan RM25 juta untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan berteraskan strategi pengembangan prospek Malaysia menjadi hab pelaburan strategik selain mengukuhkan kedudukan sebagai pusat perdagangan yang kompetitif.

“Bajet 2022 itu turut memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi menarik pelaburan asing. Bagi mencapai hasrat ini, persekitaran perniagaan yang kondusif perlu diperkukuh bagi melonjakkan produktiviti serta daya saing negara.

“MPC selaku sekretariat Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH) menyokong fungsinya dalam memberikan input dan cadangan menambah baik kualiti dasar dan peraturan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, MPC turut diamanahkan untuk mengetuai salah satu inisiatif di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) iaitu Mengamalkan Pendekatan Peraturan Tangkas untuk Memenuhi Keperluan Perniagaan Ekonomi Digital bagi menggalakkan model perniagaan inovatif, antara strategi untuk memperluas aspek sandbox kawal selia.

Menurut Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata pihaknya turut mengadakan beberapa sesi perkongsian maklumat dengan pihak berpengalaman dalam pelaksanaan sandbox tersebut seperti Futurise, ZICO Law dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

“Perkongsian ini telah memberi gambaran jelas (langkah) yang boleh diambil oleh MPC bagi memperluas penggunaan sandbox yang menyasarkan penubuhan 5,000 syarikat pemula niaga menjelang 2025,” katanya.

Beliau turut menyifatkan strategi National Regulatory Sandbox dapat merancakkan lagi insiatif MPC berkaitan penggunaan sandbox kawal selia di peringkat kementerian terbabit dan seterusnya mewujudkan penyelaras sebagai wakil rujukan.

“Pengukuhan ekosistem dasar dan perundangan yang berterusan dapat mempermudahkan urus tadbir perniagaan agar lebih efisien bagi menarik lebih banyak pelaburan asing,” katanya.

Menurutnya, MPC juga merancang untuk mengadakan sesi libat urus bersama pakar rujukan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Bank Dunia, Pertubuhan Produktiviti Antarabangsa (APO) dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) serta lain yang berkaitan untuk lebih memahami kaedah pelaksanaan sandbox kawal selia secara menyeluruh.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda