Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Program Pementoran PMM Pacu Kecemerlangan Jangka Panjang

By 22 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rozer Masudin/PMM

MERLIMAU, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau (PMM) menerusi Unit Pengurusan Psikologi melaksanakan Program Pementoran Perkhidmatan Awam Bagi Tahun 2021 melibatkan seramai 13 orang pegawai bermula sejak enam bulan yang lalu.

Menurut Timbalan Pengarah (Akademik) PMM Mohamad Kelana Juwit, program tersebut telah bermula pada 2 April dan berakhir pada 19 November baru-baru ini.

“Program Pementoran bagi tahun 2021 ini telah melibatkan seramai enam orang mentor iaitu Haniza Baharom (Ketua Jabatan Perdagangan), Azuan Alias (pensyarah), Rozer Masudin (Pegawai Perhubungan Awam), Mohd Johari Md Jali (Penolong Jurutera), Mohd Salim Mohd Tani (Kerani) dan Siti Mainunah Mohd Zain (pembantu operasi).

“Kesemua mereka membantu para menti dalam pembangunan bakat dan personaliti sebagai penjawat awam,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Fadia (kiri) dan Kelana (dua dari kiri) meraikan mentor menti dalam majlis penutupan.

Fadia (kiri) dan Kelana (dua dari kiri) meraikan mentor menti dalam majlis penutupan.

Tambahnya, menti pula melibatkan seramai tujuh orang terdiri daripada staf yang baharu berpindah untuk bertugas di PMM iaitu Muhammad Faridzwan Sabtu (pensyarah), Nurfarrah Amiera Mohd Mazlan (pensyarah), Muhammad Raslah Aiman Mohamad (pensyarah), Khairool Musaiyar Musa (penolong pegawai tadbir), Mohamad Ezzan Mohd Sangit (penolong jurutera) dan Nur Aniza Ngadimi (kerani).

“Alhamdulillah pada saya program ini amat bermanfaat untuk diteruskan lagi pada masa akan datang kerana kebaikan yang diperolehi yang secara tidak langsung memberi nilai tambah terhadap prestasi dan budaya kerja yang cemerlang kepada para staf lantikan baharu mahupun yang bertukar ke PMM.

“Untuk jangka masa panjang, program pementoran ini akan menjadi platform yang membudayakan sikap pembelajaran secara berterusan dalam organisasi selain pendekatan membimbing pegawai dalam peningkatan prestasi kerjaya dan psikososial.

“Ia juga membantu dalam meningkatkan kemahiran dalam aspek profesional, budaya kerja kelas pertama, serta meningkatkan imej dan reputasi pegawai sekali gus dapat mengangkat imej PMM ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Psikologi Siti Fadia Sheikh Hassan, berkata program pementoran ini yang berlangsung selama enam bulan lalu bertujuan untuk berkongsi ilmu sesama mentor dan menti dalam pembangunan kerjaya sebagai penjawat awam.

“Terima kasih diucapkan kepada dua urus setia terdiri daripada para Pegawai Psikologi PMM iaitu Nurul Aini Ghazali dan Mohamad Hasbullah Mustafa kerana amat komited dalam pelaksanaan program ini,” ujarnya.

-FF

Tinggalkan komen anda