![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/11/IMG-20211122-WA00101.jpg)
Laporan/foto: Rozer Masudin/PMM
MERLIMAU, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Berbekalkan semangat kesukanan yang tinggi, sekumpulan pelajar Diploma Seni Bina Politeknik Merlimau (PMM) mengadakan kembara berbasikal di sekitar Bandaraya Melaka pada waktu malam bagi memberi kelainan terhadap silibus sukan Politeknik Merlimau.
Menurut Pensyarah Kejuruteraan Awam PMM Mohd Shafrizal Md. Hassan, kembara berbasikal ini melibatkan 26 orang pelajar PMM dengan berbasikal di sekitar bandar raya Melaka pada waktu malam.
“Kami telah memulakan kayuhan sekitar pukul 8.30 malam bermula di bangunan Pastel dengan menggunakan laluan utama jalan raya menuju ke Dataran Pahlawan.
“Setelah selesai tiga kilometer, kumpulan berbasikal ini melalui pula jalan dalam bagi memberi sedikit cabaran laluan menuju ke Bangunan Stadhuys dan AFamosa,” ujarnya ketika ditemui sempena kembara tersebut di Kota A Famosa, baru-baru ini.
Beliau turut menyatakan, program tersebut turut disertai oleh tiga orang pegawai PMM yang bersama-sama merasai keindahan berbasikal pada waktu malam.
“Alhamdulillah, kesemua 26 peserta yang mengikuti cabaran berbasikal ini telah menamatkan kayuhan dengan jayanya menerusi jarak 10 kilometer sekitar bandar raya Melaka,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Unit Sukan Kokurikulum & Kebudayaan (USKK) PMM Amir Awang Muda, berkata program kayuhan seumpama tersebut merupakan antara aktiviti sukan bawah kursus kokurikulum yang menjadi keperluan kepada pelajar untuk mereka yang memilih sukan tersebut.
“Saya berharap ini merupakan permulaan bagi program-program sukan di luar untuk dianjurkan setelah kita semua selama ini amat terhadap kepada sukan tertentu dan secara dalam (indoor) sahaja,” katanya.
Beliau turut menyatakan segala program yang dianjurkan telah mendapat kelulusan oleh pihaknya dan pengurusan serta penekanan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dititik beratkan.
-FF