Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

210 Lokasi Terjejas di Enam Negeri Akibat Banjir

By 22 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 22 Dis (Malaysiaaktif) – Sebanyak 210 lokasi di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah masih terjejas akibat banjir setakat 10 pagi ini.

Pusat Kawalan Operasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan lokasi tersebut membabitkan lapan daerah di Selangor, Negeri Sembilan (tiga), Terengganu (dua), Kelantan (tiga), Pahang (lapan) dan Kedah (tiga).

Antara lokasi yang terjejas akibat banjir itu adalah Bera, Jerantut, Maran, Raub, Pekan, Temerloh, di Pahang dan Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat di Selangor.

Rentetan kejadian itu, sebanyak 83 jalan persekutuan dan 126 jalan negeri terjejas membabitkan banjir kilat, banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak.

“Ada laluan yang masih ditutup untuk semua jenis kenderaan dan ada antaranya dibuka untuk kenderaan berat,” kata NADMA dalam kenyataan itu.

Antara laluan yang dibuka untuk kenderaan berat ialah Jalan Seri Keledang, Hulu Selangor; Jalan Banting-Semenyih; Jalan Lubok Kiat-Kubang Kuau, Pasir Mas; Jalan Kampung Paya Petai-Sungai Salan, Jerantut; Jalan Bukit Rangin 3, Kuantan dan Jalan Serengkam, Maran.

Sebanyak 16 laluan dibuka untuk semua jenis kenderaan antaranya di Jalan Benta-Lamir, Jalan Pekan-Batu Balik; Pekan serta Jalan Air Putih, Kemaman.

Sementara itu, paras air di beberapa sungai di tiga negeri iaitu Selangor, Pahang dan Kelantan mencatatkan tahap bahaya setakat 7 pagi tadi berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran, Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Menerusi laman web rasmi Public Infobanjir, tahap bahaya direkodkan di Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat; Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang, Gombak; Sungai Rasau di Tugu Keris, Klang; Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh dan Sungai Pahang di Temerloh (Lubuk Pasu), Temerloh.

Selain itu, Sungai Pahang di Water Front, Bera; Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, Bera; Sungai Jengka di Jambatan Kampung Awah, Maran; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan; Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda