Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Agong, Permaisuri Rasmikan Pusat Hemodialisis YASA

By 12 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Pekan) 

PEKAN, 12 Dis (Malaysiaaktif) – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al- Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli berangkat bagi merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), semalam.

Menurut satu kenyataaan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Baginda berdua menzahirkan setinggi penghargaan kepada Pentadbir Harta Pusaka Almarhum KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah atas sumbangan bangunan bagi tujuan penubuhan Pusat Hemodialisis YASA Pekan dan ini adalah julung kalinya YASA menerima sumbangan bangunan yang diwakafkan bagi penubuhan pusat hemodialisis.

Baginda berdua turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, MUIP dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat serta para dermawan dan penyumbang dalam usaha penubuhan Pusat Hemodialisis YASA Pekan.

Agong dan Permaisuri beramah mesra bersama salah seorang pesakit di Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).

Agong dan Permaisuri beramah mesra bersama salah seorang pesakit di Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).

“Bagi membantu golongan sasaran untuk mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan, diharap lebih ramai individu dan pihak swasta dapat tampil bagi merealisasikannya.

“Rakyat juga perlu sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal pemakanan harian serta mengelakkan produk-produk yang boleh memudaratkan buah pinggang,” menurut titah baginda, di sini, semalam.

Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah Pekan ini merupakan pusat rawatan yang ketiga ditubuhkan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) selepas pembukaan Pusat Hemodialisis YASA yang pertama di Cheras pada 7 Ogos 2019 dan yang kedua di Setiawangsa Wilayah Persekutuan pada 12 Ogos 2020.

Sebagai sebuah organisasi kebajikan yang tidak berorientasikan keuntungan, pusat-pusat hemodialisis di bawah YASA menerima pesakit kurang berkemampuan di bawah tajaan YASA dan juga tajaan atau subsidi daripada badan-badan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan majikan.

-AH-

Tinggalkan komen anda