Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Fenomena Air Pasang Besar

By 8 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Musliha Yusof/Saipul Nizam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Mangsa-mangsa banjir dari Kampung Sungai Kluang Laut masih perlu menginap di Pusat Latihan Pemimpin Muda (PULAPEM) Rengit berikutan fenomena air pasang besar yang melanda daerah ini Ahad lepas masih belum surut.

Seramai 24 orang mangsa banjir telah ditempatkan di pusat ini berikutan rumah mereka telah ditenggelami air sedalam satu meter yang boleh mengundang bahaya andai terdapat binatang berbisa masuk ke dalam rumah.

Seorang mangsa banjir Sa’eyah Baron, 63, yang ditemui berkata beliau berasa sangat sedih apabila mengenangkan rumahnya yang telah dinaiki air dalam masa yang singkat.

Sa'eyah berasa sedih mengenangkan rumahnya yang telah dinaiki air.

Sa’eyah berasa sedih mengenangkan rumahnya yang telah dinaiki air.

 

“Saya sekeluarga tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barang perkakas rumah ketika fenomena air pasang melanda kampung kami.

“Banjir pada kali ini memang agak teruk kerana air naik sangat cepat,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Pemimpin Muda (PULAPEM) Rengit, di sini, hari ini.

Tambahnya, sehingga ke hari ini beliau masih tidak dapat balik ke rumah dan berharap agar barang-barang di rumahnya tidak mengalami kerosakan yang teruk.

Faris memaklumkan bahawa semua mangsa banjir sentiasa diingatkan untuk menjaga SOP.

Faris memaklumkan bahawa semua mangsa banjir sentiasa diingatkan untuk menjaga SOP.

Menurut Petugas Agensi Pertahanan Awam Mohamad Faris Amsar, semua mangsa banjir sentiasa diingatkan untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di tempat masing-masing.

“Setiap keluarga diberikan satu khemah yang diletakkan di dalam bilik.

“Walaupun di dalam bilik yang disediakan boleh diletakkan beberapa khemah namun bagi memastikan pematuhan penjarakan sosial dipatuhi, pihak kami hanya meletakkan dua khemah untuk setiap bilik,” ujarnya.

Sebahagian penduduk di Kampung Sungai Kluang Laut yang terjejas akibat banjir ini berharap agar air segera surut kerana bimbang dengan peralatan yang ditinggalkan di rumah mengalami kerosakan.

Tinjauan di kawasan banjir menunjukkan sebahagian rumah masih dipenuhi air.

-NI-

Tinggalkan komen anda