Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md.Nor (Besut)
BESUT, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Bersempena sambutan Hari Sukarelawan, seluruh daerah di Negeri Terengganu telah mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah Daerah Besut yang telah mengadakan Program Gotong Royong di Dataran Kubu, Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, di sini, baru-baru ini.
“Program gotong-royong bersempena sambutan Hari Sukarelawan diadakan bertujuan untuk menceriakan kawasan sekitar kubu peringatan yang telah dibina pada tahun 1941 oleh tentera Punjab di bawah pengawasan tentera British bagi mempertahankan negara dari serangan tentera Jepun pada masa itu,” kata Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh ketika berucap di dalam majlis perasmian.
Tambah Azbi, sebagai warganegara Malaysia kita wajib bersyukur atas nikmat keamanan dan kesejahteraan yang telah dikecapi selama ini hasil perjuangan terdahulu bagi memastikan negara kita selamat dari terus dijajah.
“Jika ditelusuri pewaris sejarah tanah air sebenarnya di Tanah Melayu kita ini ramai pejuang-pejuang yang bermati-matian dalam mempertahankan agama dan negara antaranya Mat Kilau, Dato Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut dan lain-lain.
“Oleh kerana itu, kita perlu mengambil semangat perjuangan yang telah ditanam oleh pejuang-pejuang ini bagi menjadi benteng kepada negara, ” katanya.
Namun begitu, Azbi berkata semuanya bergantung golongan belia yang merupakan tunjang kepada sesebuah negara, seandainya rosak akhlak mereka maka rosaklah masa depan negara.
Tambah beliau, pengisian program sebegini dapat menyemarakkan rasa cinta kepada tanah air.
Dalam pada itu, turut diadakan persembahan dari Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Terengganu yang dipimpin oleh Mohd Asyraf Rahimi.
Selepas selesai aktiviti gotong royong, diadakan sesi sembang santai iaitu penceritaan sejarah tempatan oleh Pegawai Khas DUN Kuala Besut, Mohammad Sulaiman.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Besut, Mohamad Hamizi Roslan, Pegawai RELA Daerah Besut, PPJR Mohd Farid Ibrahim, Pegawai Penerangan Daerah Besut, Wan Arif Fadhila Wan Yusof, Pengerusi Majlis Belia Daerah Besut, Ahmad Shakir Sofian , dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Besut, Abdul Qader Ghulam Qader serta seluruh pengerusi dan ahli jawatankuasa JPKK DUN Kuala Besut.