Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Had Hutang Statutori Imbangi Keperluan Pembiayaan

By 16 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Rasional kerajaan meningkatkan had hutang statutori negara kepada 65 peratus berbanding 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah bagi mengimbangi keperluan pembiayaan dengan mengambil kira keupayan kewangan serta hasil negara.

Ketika menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata keputusan tersebut juga diambil selepas mengambil kira keperluan membiayai pertambahan siling Kumpulan Wang COVID-19 dan sumber pembiayaan untuk melaksanakan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Selepas mengambil kira keperluan membiayai pertambahan itu dan sumber pembiayaan untuk melaksanakan RMK12, had hutang ini ditingkatkan kepada 65 peratus kepada KDNK. Sebarang peningkatan had hutang akan meningkatkan bayaran khidmat hutang (DSC) kerajaan yang diunjurkan mencecah 18 peratus kepada hasil.

“Paras berhemat DSC ke atas hasil pula seharusnya tidak melebihi 15 peratus bagi mewujudkan wang fiskal bagi perbelanjaan lain yang boleh menjana hasil negara,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) mengenai langkah pengurusan hutang yang dirancang oleh kerajaan selepas menaikkan had hutang statutori kepada 65 peratus berbanding 60 peratus kepada KDNK sebelum ini.

Yamani Hafez berkata had dicadangkan itu juga mempertimbang had keberhutangan kerajaan serta kemampanan kewangan kerajaan dalam jangka sederhana.

”Adalah menjadi tanggung jawab kerajaan untuk memastikan kedudukan kewangan kerajaan kekal stabil supaya ia bersedia dan berupaya melaksanakan rancangan pembangunan serta langkah kitaran balas ekonomi sekiranya diperlukan.

“Oleh itu, bagi langkah meringankan beban hutang dan bayaran khidmat hutang, kerajaan Persekutuan perlu memastikan perbelanjaan itu memberi impak berganda kepada ekonomi dan rakyat.

“Malah, dengan harapan ekonomi akan kembali pulih dan mengukuh, hasil kerajaan juga dijangka meningkat semula yang dapat memberi ruang fiskal yang diperlukan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau turut menjawab soalan tambahan Mohd Khairuddin mengenai keyakinan kerajaan bahawa cukai-cukai baharu serta alternatif pendanaan mampu menampung bebanan hutang yang semakin tinggi.

Menurutnya, semua perancangan kerajaan dalam memperkenalkan cukai baharu bukanlah semata-mata bagi menyelesaikan masalah itu, tetapi turut membolehkan usaha mengenal pasti kaedah mengutip hasil tanpa memberi impak besar ke atas ekonomi selain meringankan beban hutang.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) pula bertanyakan mengenai langkah yang diambil bagi mengoptimum dan menguruskan negara serta faedah hutang dalam melunaskan hutang berkaitan.

Yamani Hafez berkata dalam tempoh jangka sederhana, kerajaan akan melaksanakan semula langkah konsolidasi dan inisiatif pengukuhan fiskal kerajaan termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta penggubalan akta tanggung jawab fiskal yang dapat memantapkan tadbir urus dan disiplin fiskal.

“Selaras dengan trajektori konservatif fiskal, adalah diharapkan bahawa keperluan pinjaman kerajaan dapat dikurangkan dan seterusnya mengawal paras hutang negara. Usaha menambah baik tadbir urus dan pembaharuan institusi juga sedang dilaksanakan yang akan membantu memperbaiki kedudukan kewangan kerajaan pada masa depan,” katanya.

Mengulas faedah hutang bagi bayaran hutang, beliau berkata ini merupakan strategi ‘roll over’ iaitu kerajaan akan memastikan jika ia boleh berhutang pada kadar lebih rendah untuk membayar hutang awal yang lebih tinggi dalam jangka sederhana atau pendek.

“Ini adalah strategi kerajaan untuk mengurangkan kadar hutang,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda