Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Harga Barangan Mentah di Labuan Terkawal

By 2 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 2 Dis (Malaysiaaktif) – Harga kebanyakan jenis barangan terutamanya sayur-sayuran di pulau itu adalah terkawal.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan Junaidah Arbain, pemantauan yang dijalankan melalui Ops Pasar Sayur 2.0 mendapati kebanyakan harga barangan adalah stabil dan tidak berlaku kenaikan yang begitu ketara.

“Ops yang dilancarkan KPDNHEP pada 27 November lalu bertujuan memantau kenaikan harga barangan keperluan seperti sayur-sayuran mendapati tiada kenaikan harga yang begitu ketara, namun begitu sembilan notis telah dikeluarkan kepada para peniaga.

Junaidah (paling kiri) bersama Anual (tengah) semasa meninjau harga ayam di Pasar Sentral Labuan.

Junaidah (paling kiri) bersama Anual (tengah) semasa meninjau harga ayam di Pasar Sentral Labuan.

“Bekalan sayur-sayuran dari Sabah juga tidak menghadapi masalah menjadikan harga sayur-sayuran di Labuan adalah stabil,” katanya yang ditemui semasa pelaksanaan Ops Pasar Sayur 2.0 di Pasar Sentral Labuan, di sini semalam.

Menurut Junaidah, pemantauan dilakukan setiap hari oleh 15 orang pegawai penguat kuasa agensi itu selain dibantu lima orang Pegawai Pemantau Harga bagi melihat arah aliran harga barangan di Labuan.

“Saya ingin menasihati warga Labuan agar tidak melakukan sebarang pembelian panik kerana kita dapati kebanyakan harga barangan terkawal untuk masa ini,” jelasnya.

Seorang penjual ikan sedang berinteraksi dengan Junaidah dan Anual.

Seorang penjual ikan sedang berinteraksi dengan Junaidah dan Anual.

Selain itu Junaidah turut memuji langkah diambil pasar raya tertentu yang menjual Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dengan kadar RM6.90 seunit.

“Harga siling RTK masih RM19.90 tapi ada pasar raya yang menjual pada harga yang mampu milik, ini adalah berita baik dan boleh menjadi contoh kepada peniaga lain untuk mengikuti harga yang rendah dan mampu milik,” jelasnya lagi.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Program Jualan Keluarga Malaysia turut akan dilaksanakan di wilayah itu dalam masa terdekat.

“Seperti mana yang diumumkan Menteri KPDNHEP, kita akan mengadakan Jualan Keluarga Malaysia yang bertujuan menawarkan harga yang lebih rendah daripada pasaran kepada para pengguna,” tambahnya.

-RI

Tinggalkan komen anda