Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Industri Ekuiti Swasta Malaysia Perlukan Ekosistem Lebih Sihat, Pelbagai

By 14 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Malaysia memerlukan ekosistem pengurus dana dan pelabur swasta yang lebih sihat dan pelbagai untuk mengembangkan industri ekuiti swasta (PE) bagi menangani keperluan kecairan negara yang semakin meningkat, kata Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR) Malaysia.

Ia berkata industri PE Malaysia kurang kepelbagaian kerana kebanyakan dana swasta menyasarkan pelaburan teroka peringkat awal.

“Setakat September 2020, dana pertumbuhan menguasai lebih 49 peratus daripada jumlah dana swasta yang tertumpu kepada Malaysia, mengagregatkan US$157.7 juta (AS$1=RM4.23) dalam aset di bawah pengurusan (AUM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini bersempena pelancaran laporan penyelidikan baru-baru ini mengenai “Mengemudi Ruang Ekuiti Swasta Malaysia: Cabaran dan Peluang”.

Menurutnya, dana-dana ini secara umumnya dikenali sebagai dana yang biasanya mengambil pegangan minoriti dalam syarikat penerima pelaburan tanpa penggunaan leveraj.

“Pembelian dan strategi peringkat akhir, masing-masing hanya 1.8 peratus dan 0.4 peratus daripada jumlah dana persendirian Malaysia,” katanya.

Laporan ICMR mendapati industri PE di Malaysia kekal lembap, terutamanya berbanding tahap pertumbuhan yang dilihat dalam ekonomi yang lebih maju.

Menurut penyedia data Preqin, AUM untuk industri PE Malaysia telah berkembang pada kadar yang perlahan sebanyak 6.7 peratus setiap tahun, daripada US$3.7 bilion pada 2010 kepada US$6.8 bilion pada 2020, berbanding beberapa negara maju yang mencatatkan pertumbuhan lebih 10 peratus.

“Walaupun modal digunakan secara aktif untuk mencari peluang pelaburan yang menarik, kebanyakan niaga janji PE di Malaysia tertumpu dalam sektor terhad seperti budi bicara pengguna (56.1 peratus) dan bahan mentah atau utiliti tenaga (12 peratus), tidak seperti di rantau-rantau lain,” kata ICMR.

Ia menambah pandemik COVID-19 telah mendorong minat pelabur swasta dalam sektor lain seperti teknologi dan penjagaan kesihatan, tetapi Malaysia masih memerlukan peluang yang lebih luas, terutamanya dalam pertanian, perkhidmatan kewangan dan insurans untuk menangani cabaran yang semakin meningkat disebabkan oleh pembandaran, keselamatan makanan dan wabak penyakit berjangkit.

“Lebih banyak pelaburan swasta juga diperlukan dalam industri halal Malaysia untuk meluaskan skop menegak (vertical) sedia ada ke dalam bidang seperti farmaseutikal, pelancongan dan penjagaan kesihatan, serta untuk memperdalam hubungan industri dengan rantaian bekalan serantau dan global,” tambahnya.

Justeru, institut penyelidikan itu berkata laporannya turut membuat beberapa syor termasuk mempunyai dasar untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan swasta dalam bidang yang akan meningkatkan daya tahan dan kemampanan ekonomi negara, menekankan aktiviti pembangunan masyarakat dan ekonomi, serta merapatkan jurang pengumpulan dana modal swasta antara domestik dan global.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda