Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kementerian Kewangan Lanjut Tempoh Penunaian Bantuan Khas sehingga 31 Januari, 2022

By 23 Disember 2021Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 23 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Kewangan akan melanjutkan tempoh penunaian bagi bantuan-bantuan khas sehingga 31 Jan, 2022, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata ia adalah bagi penerima bantuan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang terkesan akibat banjir.

“Bantuan-bantuan melalui kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) ini sepatutnya berakhir pada 31 Disember, 2021,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Seruandi Saad yang ingin tahu usaha kementerian bagi memudah cara agihan bantuan-bantuan khas yang diberikan kepada rakyat agar tiada keciciran bantuan pada masa hadapan.

Sementara itu, Mohd Shahar berkata bantuan tunai langsung kerajaan pada 2021 berjumlah RM17.1 bilion dan disalurkan secara berterusan mulai Januari hingga Disember 2021 yang melibatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), BPR, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).

“Paling terkini adalah pembayaran BKC Fasa 3 mulai 20 Disember, 2021 yang melibatkan 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40 dengan nilai bantuan sebanyak RM300 dan implikasi kewangan berjumlah RM1.2 bilion,” katanya.

Bagi 2022, kerajaan telah menyediakan bantuan tunai B40 dengan peruntukan RM8.2 bilion bagi BKM yang telah disediakan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC).

“Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda