Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

98.3 Peratus Kes Baharu Kategori Satu, Dua

By 24 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Sebanyak 98.3 peratus atau 3,451 kes daripada keseluruhan 3,510 kes baharu COVID-19 yang dilapor semalam adalah kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata baki 59 kes baharu atau 1.7 peratus pula merupakan kategori tiga, empat dan lima.

Dalam kenyataan mengenai situasi semasa COVID-19 semalam, Dr Noor Hisham berkata 329 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 179 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes sembuh yang dilapor hari ini (Khamis) adalah 4,998 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 2,652,585,” katanya.

Sementara itu mengenai perkembangan bencana banjir, Dr Noor Hisham berkata setakat ini 390 kes positif COVID-19 dan 180 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir.

Beliau berkata 180 kes penyakit berjangkit itu terdiri daripada 80 kes jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI), penyakit kulit (57), Acute Gastroenteritis (AGE) (42) dan satu Konjunktivitis.

Mengenai laporan media pada Rabu berkaitan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun didapati lemah dan mengalami simptom muntah-muntah yang ditemui di Taman Sri Muda, Shah Alam, Dr Noor Hisham menjelaskan hasil siasatan mendapati mangsa menghadapi AGE dengan lima peratus dehidrasi.

Beliau berkata kanak-kanak itu dibawa oleh keluarga ke klinik medan Kementerian Kesihatan (KKM) di Taman Sri Muda pada 10.30 malam (22 Disember) dan kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi rawatan susulan.

“Selepas menunjukkan respons yang positif dan semakin pulih, kanak-kanak tersebut kini ditempatkan di wad kanak-kanak Kompleks Ibu dan Bayi HTAR.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian AGE berpunca daripada bahan mentah makanan yang rosak dan faktor kebersihan yang terjejas akibat banjir dan tiada isu kelewatan respons kesihatan berlaku,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda