Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 4 Dis (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 turun kepada 5,551 semalam berbanding 5,806 kelmarin menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik itu dalam negara kini berjumlah 2,649,578 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu yang direkodkan itu 5,528 merupakan kes jangkitan tempatan melibatkan 5,304 warganegara, manakala 23 kes import membabitkan 14 warganegara.
“Daripada 5,551 kes harian yang dilaporkan pada hari ini (Jumaat) 78 kes adalah kategori tiga, empat, dan lima; dan 5,473 kes lagi adalah kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi COVID-19 semalam.
Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit COVID-19 yang tidak bergejala serta bergejala ringan, manakala kategori tiga, empat dan lima pula ialah pesakit sama ada mengalami radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata kes sembuh pula mencatat 5,301 kes menjadikan keseluruhan kes yang telah pulih adalah 2,556,554.
Selain itu Dr Noor Hisham berkata 499 kes disahkan pesakit COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 269 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Sebanyak enam lagi kluster baharu dikesan semalam, dan ketika ini 228 kluster masih aktif di seluruh negara.
Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.
-RI