Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Ekonomi Digital Malaysia Meningkat 23 Peratus kepada US$190 Bilion bagi 9 Bulan Pertama 2021

By 4 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 4 Dis (Malaysiaaktif) – Pertumbuhan ekonomi digital Malaysia semakin meraih momentum dengan pendapatan e-dagang meningkat kepada US$190 bilion, peningkatan 23 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pendigitalan sentiasa menjadi kepentingan strategik kepada Malaysia dalam usaha negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Pada 2020, ekonomi digital Malaysia membentuk 22 peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara dan dijangka mewujudkan kira-kira 500,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.

“Jadi kami mendekati pendigitalan secara strategik, kami menjalin kerjasama dengan sektor swasta, memberi dorongan kepada rakyat untuk menerima guna digital serta menyediakan geran dan bantuan kepada perniagaan kecil agar mereka mendapat manfaat daripada e-pembayaran dan meluaskan capaian pelanggan mereka di platform elektronik,” katanya pada Forum Infiniti Maya di terminal Bloomberg.

Sejajar dengan ini, katanya, Malaysia juga menyaksikan penyelesaian pembayaran digital negara berkembang dengan ketara tahun lepas, mencatatkan peningkatan 664 peratus dalam pendaftaran peniaga.

“Institusi kewangan, terutamanya daripada sektor swasta juga menyokong kerajaan agar meningkatkan pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melangkaui daripada pembiayaan kepada penyelesaian terbuka dengan mendigitasikan sepenuhnya operasi PKS.

“Ia satu pembaziran sekiranya apa yang kita dapat daripada pendigitalan hanyalah cara yang mudah untuk mengurusniaga barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata walaupun tidak ada negara yang tidak terkesan dengan pandemik COVID-19, kemajuan dalam kesediaan digital dan impak meluas teknologi telah membolehkan Malaysia menangani dengan lebih baik lagi kesan getir daripada sekatan pergerakan penuh dan mengelakkan kesan lebih mendalam terhadap ekonomi.

“Meskipun banyak perniagaan fizikal mengalami jualan yang terhad semasa tempoh awal sekatan pergerakan, namun teknologi telah membolehkan aktiviti dilakukan menerusi dalam talian seperti yang dilihat dalam pelbagai industri seperti membeli belah barang runcit manakala aktiviti penghantaran makanan melonjak dengan ketara,” katanya sambil menambah pendek kata pendigitalan telah menjadi suatu yang kritikal dalam mengukuhkan daya tahan ekonomi kita.

Bagaimanapun, beliau berkata masih banyak ruang untuk pembangunan dan kerajaan kekal komited untuk meneruskan pendigitalan ekonomi dan menyatakan Malaysia telaj melancarkan pelan tindakan ekonomi digital untuk memperkasakan rakyat Malaysia dalam segenap lapisan masyarakat dengan celik digital, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pendidikan teknologi kewangan, penjagaan kesihatan dan banyak lagi.

Rangka tindakan yang merupakan pelan jangka panjang sehingga tahun 2030 itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa yang akan merangkumi pelaburan dalam rangka kerja digital, aktiviti pengukuhan telekomunikasi, melancarkan 5G di seluruh negara, mengukuhkan penyedia perkhidmatan teknologi awan dengan kesemuanya berjumlah US$15 bilion.

Bagi Malaysia, katanya, teras pendigitalan perlu bersifat berketerangkuman iaitu untuk mewujudkan masyarakat yang lebih saksama.

“Justeru, kesalinghubungan dan akses internet adalah pemboleh penting untuk mengurangkan jurang kekayaan dan pendapatan kerana pandemik COVID-19 telah mengajar kita ia menjadi semakin penting.

“Sehubungan itu, kami melakukan segala yang terdaya untuk mendayakan persekitaran digital. Melangkah ke hadapan, kami juga akan mengikuti jejak langkah negara seperti India dalam melaksanakan identiti digital nasional yang akan terus menyokong pendigitalan ekonomi dan membuka jalan kepada inklusif dan celik digital,” katanya.

Menyentuh mengenai perundangan teknologi dan infrastruktur digital, beliau berkata Malaysia masih berkembang dalam ruang itu kerana keadaannya sangat dinamik dan lancar.

Beliau berkata prinsip utama yang mesti ditangani terutamanya dalam keselamatan dan infrastruktur digital ialah negara mesti berkembang untuk berdaya tahan, harus memastikan keterangkuman, menggalakkan kebolehsuaian dan akhirnya wajib mempunyai tadbir urus yang baik.

“Daripada segi tadbir urus infrastruktur digital kita harus dirancang untuk mempamerkan ketelusan dan akauntabiliti dalam membuat keputusan.

“Prinsip-prinsip ini akan menjadi asas untuk lebih banyak inovasi dalam ekonomi bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Kami mahu menyepadukan titik data yang berbeza dalam bidang penting seperti penjagaan kesihatan, identiti peribadi dan korporat, perkhidmatan kerajaan, perniagaan dan kewangan. Ia juga bagi memenuhi pelbagai keperluan sosioekonomi,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda