Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KPKT Teliti Cadangan Wujudkan Semula Skim MyDeposit

By 20 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 20 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti cadangan pewujudan semula skim MyDeposit dengan mengkaji model pembiayaan yang lebih viable (berdaya maju) dan sustainable (mampan) untuk manfaat serta kepentingan golongan sasar.

Menteri berkenaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata walaupun peruntukan kewangan kerajaan untuk skim MyDeposit telah dihentikan, namun pihaknya mengakui skim tersebut mempunyai impak tinggi untuk pembeli rumah pertama terutamanya golongan belia.

Beliau berkata sejak skim itu diperkenalkan pada 2016 hingga 31 Okt tahun ini, sebanyak RM86.386 juta pembiayaan telah diberikan kepada 3,105 keluarga meliputi 12,420 isi rumah melibatkan 127 projek perumahan.

“Berdasarkan rekod kementerian, didapati sebanyak 2,257 (72.6 peratus) adalah pemohon yang berumur 21 hingga 35 tahun, manakala 778 (25 peratus) adalah pemohon berumur 36 hingga 45 tahun dan selebihnya 70 (2.4 peratus) melibatkan pemohon berumur 45 tahun ke atas,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Jefridin Atan sama ada kerajaan mempunyai hasrat untuk mengembalikan skim MyDeposit yang memberikan insentif deposit 10 peratus daripada harga rumah hingga RM30,000 serta statistik penerima yang telah menerima insentif ini sepanjang program tersebut dilaksanakan.

Skim MyDeposit menawarkan insentif 10 peratus daripada harga rumah atau RM30,000 yang mana terendah kepada pembeli rumah pertama untuk rumah berharga RM500,000 dan ke bawah dengan kelayakan pendapatan isi rumah penerima adalah RM15,000 dan ke bawah.

Reezal Merican berkata KPKT menyediakan pelbagai skim perumahan untuk golongan B40 termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menawarkan harga rumah serendah RM35,000.

“PPR telah melalui evolusi yang agak panjang, dari segi saiz lantai pun sudah berubah sekarang 700 kaki persegi. Ada dua kaedah satu untuk disewa dan satu lagi untuk dimiliki ataupun dilakukan secara rent-to-own.

“Untuk perumahan mampu milik lain yang diterajui oleh agensi seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan juga syarikat di bawah kerajaan negeri harganya agak berbeza berdasarkan medium income negeri-negeri tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Majlis Perumahan Mampu Milik Negara juga telah diaktifkan semula dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan disertai semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bertujuan untuk memastikan penyediaan rumah mampu milik yang lebih terurus dan terarah agar tidak berlaku ketidakpadan dari segi permintaan dan penawaran.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Jefridin berhubung sejauh mana keupayaan KPKT dalam mewujudkan skim perumahan harga murah dan mampu milik sepertimana dilaksanakan kerajaan negeri Johor menerusi projek rumah mampu milik yang menawarkan rumah serendah RM42,000.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda