Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MEDIKK Bincang Penyelarasan Caj, Fi Pembinaan Infrastruktur, Kemudahan Digital

By 15 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Facebook Annuar Musa

PUTRAJAYA, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Kajian caj dan fi perkhidmatan berkaitan pembinaan infrastruktur dan kemudahan digital dikenakan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, adalah antara agenda utama bakal dibincangkan pada Majlis Ekonomi Digital Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK) semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata menerusi perbincangan tersebut kerajaan berharap caj dan fi berbeza yang dikenakan di setiap negeri buat masa ini, dapat diselaraskan.

Beliau berkata agenda lain yang akan dibincangkan dalam mesyuarat pertama MEDIKK itu adalah laporan kemajuan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan laporan pelaksanaan inisiatif digital ekonomi.

“Kita ingin memastikan prestasi pelaksanaan program-program ini dapat dijalankan dengan seberapa efisien yang boleh,” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat tersebut di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata agenda lain termasuklah pertimbangan Projek Penyediaan Titik Kehadiran (PoP) dan memperluaskan program jelajah RIUH Keluarga Malaysia.

Beliau berkata penubuhan komuniti Keluarga Malaysia, program Pemerkasaan Keselamatan Siber (SiberKASA) serta Program Realisasi Impian Ekonomi Digital (PRIME): Keusahawanan Digital di Peringkat Negeri (MYNIC) turut akan dibincangkan.

MEDIKK merupakan platform yang menghubungkan KKMM dan pentadbiran kerajaan negeri menerusi mesyuarat secara berkala bagi membincangkan perkara berkaitan portfolio KKMM iaitu penerangan, industri kreatif, telekomunikasi dan ekonomi digital.

Keanggotaan MEDIKK yang dipengerusikan Annuar terdiri daripada wakil Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) setiap negeri yang memegang portfolio berkaitan manakala bagi Wilayah Persekutuan, keanggotaan adalah Menteri Wilayah Persekutuan.

Penubuhan majlis itu selaras dengan objektif KKMM untuk menyediakan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh dan inklusif demi membangun ekonomi digital, memperkasa teknologi maklumat dan komunikasi negara, memangkin industri kandungan kreatif serta memperluaskan penyampaian dan penyebaran maklumat secara strategik.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda