
Laporan/foto: Azrina Mohamad Sabiri/PMM
MERLIMAU, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Merlimau (PMM) melancarkan program larian amal yang dijalankan secara dalam talian bermula 1 Disember lalu.
Pengarah Program Muhammad Alif Azri, berkata masyarakat Malaysia seharusnya menjaga atau memastikan badan sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan sentiasa bertenaga dari segi mental dan fizikal.
“Larian amal ini, selain memberi manfaat terhadap kesihatan, ia juga amat mudah untuk disertai iaitu hanya ke pautan https://bit.ly/3d20dP9 untuk pendaftaran dan buat larian dengan jarak 10 kilometer bersamaan 13 ribu langkah bagi membolehkan peserta mendapat kemeja-t, medal, bip beserta e-sijil.
“Ini juga merupakan peluang kepada semua untuk berlari sambil beramal kerana sebahagian kutipan yuran ini akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan di Negeri Melaka,” katanya ketika ditemui di kampus tersebut, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Program Muhammad Fikri, berkata PMM sering mengadakan aktiviti sukan dan aktiviti berkaitan kesihatan yang bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar dan masyarakat setempat untuk menerapkan budaya gaya hidup sihat.
“Dengan adanya program seumpama ini, masyarakat dapat memberikan komitmen dalam menyertai mana-mana program larian walaupun hanyalah sekadar dalam talian tetapi masih dapat menunjukkan semangat untuk kekal sihat walaupun di mana berada.
“Program ini juga diharap dapat mengalakkan para pelajar dan juga masyarakat untuk terus sihat dan bertenaga walaupun menempuhi pelbagai halangan ataupun cabaran ketika pandemik seumpama ini,” ujarnya.
-FF