Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/ Norasilah Ibrahim (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Sebuah bot pancung yang menceroboh perairan Malaysia telah terbalik dan karam di Tanjung Balau Kota Tinggi, awal pagi semalam.
Menurut Pegawai Penyelaras Pos Hadapan Carilamat (PHC) Tanjung Balau Leftenan Komander Maritim Ahmad Zamri Zakaria, bot pancung dari Pulau Bintan Indonesia ini membawa kira-kira 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin memasuki negara ini melalui pintu masuk yang tidak sah dan membawa keluar warga Indonesia yang berada di sini.
“Kira-kira jam 4.30 pagi semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Ops Benteng telah berjaya menahan kira-kira sepuluh orang warga Indonesia yang sedang bersembunyi di Tanjung Balau dan apabila di soal siasat mereka memaklumkan sedang menunggu bot untuk pulang ke Indonesia.
“Menjelang pagi, didapati bot yang ditunggu oleh mereka telah terbalik dan karam yang mana ramai mangsa mati lemas terdampar di pantai manakala yang sempat menyelamatkan diri ditahan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Hadapan Carilamat (PCH) Tanjung Balau, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Operasi Search and Rescue (SAR) telah diaktifkan pada jam 8.50 pagi semalam bagi membantu mencari dan menyelamat mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Operasi SAR ini diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan turut melibatkan pelbagai agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Aset laut dan udara juga telah digerakkan melibatkan radius pencarian sehingga 30 batu nautika dalam usaha mengesan mangsa yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia,” ujarnya.
Beliau berharap, semua mangsa dapat dijumpai segera dan operasi ini akan ditamatkan lebih awal.
Setakat jam 12.00 tengah hari, 14 mangsa telah dijumpai selamat, 19 mangsa lemas sementara 17 mangsa masih hilang.
PATI yang dijumpai selamat ditahan di Pos ATM Tanjung Sepang Pengerang untuk tindakan lanjut, manakala mangsa lemas telah di bawa ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru untuk bedah siasat.
-NI-