Laporan/foto: Hasnida Khairuddin/PMM
MERLIMAU, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai sembilan orang pensyarah dan 19 orang pelajar Politeknik Merlimau Melaka (PMM) membersihkan sungai dalam Program “Cintailah Sungai Kita@Sungai Melaka” kerjasama institut pengajian tersebut dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPM) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Melaka baru-baru ini.
Menurut Pengurus Pusat Teknologi (COT) PMM Surina Nordin, program tersebut amatlah digalakkan dalam memberi kesedaran betapa pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya sungai-sungai di Melaka supaya menjadi daya tarikan pelancongan di Negeri Melaka khususnya.
“Ini akan dapat menyumbang kepada kesedaran sivik terhadap para pelajar dalam menjaga kebersihan alam sekitar.
“Program gotong-royong ini memberi pendedahan yang luas terhadap kepentingan menjaga dan seterusnya mengubah imej sungai kita.
“Jika kita sukar untuk mengubah dunia, ubahlah diri kita sendiri untuk lebih menghargai sungai kerana ia berpotensi sebagai pusat pelancongan dan salah satu sumber ekonomi negeri Melaka,” katanya ketika ditemui di pejabat, di sini.
Menurut Surina, program yang berlangsung di Taman Rempah Melaka River Cruise itu dilaksanakan dengan para peserta menaiki bot bagi memudahkan proses membersihkan sungai Melaka.
“Pelajar dan pensyarah serta beberapa pegawai agensi berkaitan mengutip sampah dalam kuantiti yang banyak terdiri daripada botol plastik, ranting kayu, plastik makanan dan pelbagai lagi sekali gus dapat mencantikkan lagi Sungai Melaka yang merupakan salah satu destinasi pelancongan Negeri Melaka.
“Program ini bukan sahaja dapat memberi pengalaman kepada pelajar dalam menjalankan aktiviti khidmat masyarakat, tetapi turut memberi ilmu menerusi taklimat yang disampaikan oleh pegawai PPSPM dan MOTAC dalam hal menjaga sungai dan alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) PMM Hanis Aliaa Ramley, berkata peluang untuk turut serta dalam program kemasyarakatan seperti ini amat bernilai harganya.
“Syukur, peluang sebegini memberi manfaat bukan sahaja dari segi kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai, malah turut menyuntik semangat cinta akan alam sekitar.
“Apabila melihat sendiri bagaimana sampah sarap menjadi pencemaran yang mencacatkan pemandangan sepanjang menelusuri sungai Melaka, tambahan pula Sungai Melaka merupakan salah satu tempat wajib bagi tumpuan pelancong, rasa tanggungjawab dan peranan untuk memelihara alam sekitar semakin berkobar kobar,” katanya.
-FF