Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

82,850 Tan Sisa Pepejal Dilupuskan Akibat Bencana

By 11 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Hafif Zainurdin (Hulu Langat)

HULU LANGAT, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 82,850 tan sisa pepejal telah dilupuskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) setakat semalam akibat bencana banjir yang melanda negara.

Timbalan Menteri KPKT Datuk Seri Ismail Abdul, berkata Selangor mencatatkan jumlah sisa pepejal tertinggi setakat semalam dengan lebih 48,100 tan sisa pepejal dilupuskan membabitkan peralatan rumah dan barangan elektronik.

“KPKT sedang cuba meminimakan sebanyak mungkin sisa pepejal bagi tujuan pelupusan dengan menawarkan khidmat baik pulih barangan elektrik dan elektronik.

Ismail membantu kerja-kerja pembersihan barangan elektrik.

Ismail membantu kerja-kerja pembersihan barangan elektrik.

“Pengurangan sisa pepejal akan membantu kita mengelakkan pencemaran alam sekitar sekali gus meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” ujarnya yang ditemui sempena Program SWCorp Bersamamu anjuran bersama KPKT di Taman Sri Nanding, di sini semalam.

Menurut Ismail, program ini merupakan inisiatif terbaik bagi kedua-dua pihak iaitu mangsa yang boleh mendapatkan penjimatan dan juga institut latihan yang boleh memantapkan kemahiran dan tatakerja mereka dalam proses baik pulih barangan elektrik.

“KPKT telah membelanjakan sebanyak RM60 juta bagi membantu mangsa banjir dan kos baik pulih infrastruktur awam.

“Program ini dijangka akan diperluaskan lagi ke kawasan lain bagi membantu lebih ramai masyarakat yang terkesan dengan bencana untuk bangkit semula,” katanya.

Antara tenaga sukarelawan yang terlibat dalam program.

Antara tenaga sukarelawan yang terlibat dalam program.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim, yang turut sama turun padang memberitahu media bahawa kesemua tenaga kerja sukarelawan ini adalah di bawah pengurusan Kementerian Sumber Manusia sendiri.

“Seramai 150 orang petugas melibatkan beberapa agensi latihan seperti Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Teknikal Azmida dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara mengambil bahagian dalam program ini.

“Kerjasama antara KPKT dan Kementerian Sumber Manusia ini diharapkan agar dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa kerana pasca banjir merupakan tempoh yang kritikal bagi mereka yang terlibat dengan bancana ini,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Ismail Mokhtar.

-RI

Tinggalkan komen anda