Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

BAKAT Sampaikan Sumbangan UAE kepada Tentera, Orang Awam

By 2 Januari 2022Tiada komen1 minit bacaan

Foto: ATM

PUTRAJAYA, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) semalam menyampaikan sumbangan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkesan akibat banjir.

Bahagian Hal Ehwal ATM dalam kenyataan malam tadi memaklumkan sebanyak 13 buah rumah anggota pasukan keselamatan itu yang terkesan banjir di sekitar Shah Alam, Klang dan Hulu Langat telah dikunjungi oleh BAKAT selain memberi sokongan moral untuk mereka menjalani kehidupan seperti biasa.

“Sebanyak 700 anggota tentera terkesan banjir menerima barangan sumbangan berupa bungkusan kit solat yang disediakan oleh BAKAT di samping barangan sumbangan UAE terdiri daripada telekung, al-Quran, set kebersihan, barang kering dapur, beras dan minyak serta alat cucian.

“Menyahut konsep Keluarga Malaysia, BAKAT ATM turut menyampaikan bantuan kepada beberapa keluarga orang awam yang ditimpa musibah banjir di Hulu Langat, Kampung Bukit Lanchung dan Rantau Panjang, Klang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan program bantuan berkenaan akan diteruskan di Temerloh dan Mentakab, Pahang hari ini dengan tumpuan diberikan kepada anggota di Kem Batu 3, Temerloh yang terjejas teruk akibat banjir.

“Inisiatif terbabit merupakan antara usaha BAKAT dalam menjaga hal ehwal kebajikan keluarga warga ATM malah turut menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat yang memerlukan bantuan seiring cogan katanya iaitu Bersama Berbakti,” katanya.

Khamis lepas, UAE menyerahkan bantuan itu dan simbolik penyampaian sumbangan diadakan di Wisma Perwira ATM melalui dutanya di Malaysia, Khalid Ghanim Alghaith.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda