Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Bantuan Awal Persekolahan RM150 Diagih Isnin Ini

By 14 Januari 2022Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 14 Jan (Malaysiaaktif) – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 seorang bagi sesi persekolahan 2022/2023 akan mula diagihkan Isnin ini (17 Januari).

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang dalam sesi persekolahan bagi tahun 2021/2022 layak menerima bantuan tersebut.

“Sementara itu, bagi murid Tahun 1 yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai,” menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan pengagihan BAP akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.

Bagi pengagihan secara tunai, ia akan dilaksanakan di sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“KPM yakin pemberian BAP ini akan dapat membantu ibu bapa dan penjaga membuat persiapan awal untuk anak-anak memulakan persekolahan bagi Sesi Akademik 2022/2023,” katanya.

Pada pembentangan Bajet 2022 lepas, bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023 kerajaan bersetuju meningkatkan kadar BAP kepada RM150 untuk seorang murid berbanding RM100 sebelum ini.

Bantuan itu akan memberi manfaat kepada tiga juta penerima dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda