Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Ekonomi Malaysia Dijangka Berkembang 5.4 Peratus

By 12 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 12 Jan (Malaysiaaktif) – AmBank Research mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang kira-kira 5.4 peratus tahun ini susulan anggaran pertumbuhan perlahan 3.4 peratus pada 2021.

Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan 5.4 peratus itu diunjurkan sebagai kes asas dengan jangkaan peningkatan pada 6.0 peratus dan risiko menurun pada 3.5 peratus.

“Walaupun asas rendah pada 2021, momentum pertumbuhan 2022 disokong oleh dorongan positif daripada kadar vaksinasi tinggi dan pelancaran pelbagai pakej rangsangan ekonomi.

“Ia membawa kepada langkah-langkah sekatan yang lebih longgar sejak Julai 2021 yang menyaksikan pembukaan semula kebanyakan aktiviti ekonomi tanpa risiko sekatan pergerakan seterusnya,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

AmBank Research berkata selain daripada asas rendah, pertumbuhan pada 2022 juga akan dirangsang oleh penggunaan swasta, pelaburan swasta dalam negeri, pelaksanaan pelaburan langsung asing yang diluluskan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan serta perbelanjaan awam.

Selain itu, ia berkata, eksport dan harga komoditi yang tinggi juga akan terus menyokong pertumbuhan tahun ini.

“Ratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) juga bakal menyokong pertumbuhan aktiviti perniagaan domestik dan yang didorong eksport,” katanya.

Keseluruhan dasar makro dijangka terus menyokong pertumbuhan yang akan disokong oleh pengembangan Bajet 2022 dengan langkah-langkah dan insentif yang diperkenalkan bagi rakyat serta langkah-langkah rangsangan bernilai RM530 bilion, selain pelancaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Ambank Research menjangkakan inflasi kekal tinggi pada separuh pertama 2022.

Bagi Bank Negara Malaysia (BNM), firma penyelidikan itu berkata bank pusat dijangka menyemak semula dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekali atau dua kali pada 2022 untuk mengekalkan perbezaan kadar faedah antara Amerika Syarikat dan Malaysia pada 175-225 mata asas.

“BNM dijangka menaikkan kadar faedah pada separuh kedua 2022 dengan satu atau dua kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas bagi setiap kenaikan.

“Momentum pertumbuhan ekonomi, peningkatan inflasi dan menangani perbezaan kadar faedah akan menjadi faktor menyokongan kenaikan kadar,” katanya.

Hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia 10 tahun dijangka berlegar sekitar 3.9 hingga 4.0 peratus tahun ini.

Mengenai ringgit, AmBank Research menjangkakan mata wang tempatan itu kekal lemah pada separuh pertama 2022 dan meningkat sedikit pada separuh kedua 2022.

Ringgit dijangka mengalami tekanan jualan pada separuh pertama tahun ini dan berada sekitar paras paras 4.25 dan kemungkinan mencecah paras 4.30.

“Unjurannya adalah mata wang tempatan akan melantun semula daripada aliran rendahnya pada separuh kedua 2022 dan berlegar di sekitar paras 4.20 pada masa itu,” kata firma penyelidikan itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda