Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Harian Lepasi 5,000 Kes

By 28 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 dalam negara terus meningkat untuk tiga hari berturut-turut dengan 5,439 kes dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes keseluruhan kini 2,850,408.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan kes baharu COVID-19 dalam negara kembali mencatatkan angka melepasi 5,000, selepas kali terakhir pada 10 Disember lepas.

Beliau berkata daripada kes baharu itu, 99.1 peratus atau 5,392 kes terdiri daripada kategori satu dan dua, manakala 0.9 peratus atau 47 kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

“Daripada 5,439 kes itu, sebanyak 332 adalah kes import dan 5,107 adalah kes tempatan, manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 124 kes dan 70 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan COVID-19 semalam.

Beliau berkata sebanyak 4,409 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,770,663 orang.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 22 kluster baharu direkodkan dengan 274 kluster masih aktif.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.13 dengan Negeri Sembilan merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.18 setakat kelmarin.

Dr Noor Hisham juga menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan, serta segera mendapatkan vaksin COVID-19.

“Bagi yang langsung belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti COVID-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara, melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda