Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lebih 150 Syarikat India Melabur US$3 Bilion di Malaysia

By 30 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Kementerian Sumber Manusia

PUTRAJAYA, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih 150 syarikat India melabur sebanyak US$3 bilion di Malaysia dan menyumbang kepada lebih 20,000 peluang pekerjaan di negara ini.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy berkata di sebaliknya syarikat Malaysia pula melabur US$7 bilion di India sama ada secara terus atau melalui negara ketiga.

Perniagaan India terlibat dalam pelbagai sektor di Malaysia seperti ICT, bioteknologi, pembuatan dan perkhidmatan kewangan.

Menurut Reddy, kebelakangan ini India muncul sebagai sepuluh rakan dagang utama Malaysia di peringkat global. Meskipun dibelenggu pandemik COVID-19, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berkembang sebanyak 26 peratus pada 2021 dan perdagangan keseluruhan mencecah US$17 bilion.

Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) dan Perjanjian komprehensif ASEAN-India mengenai Perdagangan Barangan dan Perkhidmatan serta Pelaburan terus menggalakkan hubungan dua hala kedua-dua negara,” katanya.

Reddy berkata demikian dalam ucapannya pada majlis resepsi Hari Republik India 2022, di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tetamu utama, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mewakili kerajaan Malaysia pada majlis itu. Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran, yang juga Duta Khas Malaysia ke Asia Selatan.

Reddy menekankan bahawa India dan Malaysia berkongsi ikatan persahabatan yang mendalam dan kekal, berakar umbi dalam hubungan sesama rakyatnya.

Beliau berkata ikatan persahabatan ini melangkaui hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sejak 1957.

“Ia juga menandakan 30 tahun perkongsian pembangunan ASEAN. Kami melihat peluang besar untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan mengambil peluang daripada hubungan kukuh yang terjalin antara kedua-dua negara,” tambahnya.

Di samping itu, Reddy berkata lebih 250,000 warga India terdiri daripada profesional dan pekerja turut menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Malaysia kerana memudahkan warga India untuk meneruskan kerjaya mereka di Malaysia.

Mengenai COVID-19, Reddy berkata Malaysia mencapai kemajuan besar dalam pelaksanaan vaksinasi termasuk dos penggalak dan meluaskannya kepada golongan muda.

Beliau menyatakan sudah lebih dua tahun dunia memerangi COVID-19. Pada tahun pertama India telah meningkatkan infrastruktur penjagaan kesihatan dan menjangkau untuk membantu orang lain.

“Menjelang tahun kedua, kami membangunkan vaksin sendiri – Covaxin, dan melancarkan kempen vaksinasi terbesar di dunia.

“Dengan lebih 1.65 bilion dos telah diberikan, kami berjaya menampung 93 peratus populasi dewasa dengan dos pertama dan 70 peratus penduduk telah menerima vaksin lengkap,” katanya.

India turut membekalkan vaksin di bawah inisiatif ‘Vaccine Maitri’ dan bantuan perubatan lain kepada 74 negara.

Beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri India Narendra Modi dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Kumpulan 20 Pemimpin di Rom pada Oktober lalu, mengumumkan negara itu akan menghasilkan lima bilion dos vaksin COVID-19 tahun ini, yang akan tersedia untuk dunia.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda