Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Lebih 4 Juta Belia Berusia 18 Tahun Didaftar Secara Automatik Sebagai Pemilih Setakat 16 Januari

By 22 Januari 2022Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih 4 juta pengundi berusia 18 tahun telah didaftarkan sebagai pemilih secara automatik setakat 16 Januari lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menghargai peranan anak muda, justeru golongan ini boleh mengundi menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun pada 2019.

“Saya difahamkan lebih 4 juta anak muda berumur 18 tahun didaftarkan secara automatik setakat 16 Januari.

“Saya berharap pertubuhan-pertubuhan belia seperti Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan akan memainkan peranan untuk memberikan kesedaran kepada golongan muda tentang pentingnya proses demokrasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan Kali ke-60, di Kota Bharu malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Presiden MAYC Mohd Syahbuddin Hashim.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata pertubuhan belia perlu terus berperanan sebagai pemangkin bersama-sama pemegang taruh institusi kerajaan untuk membangunkan anak muda negara.

“Kerajaan mahu lebih ramai anak muda yang proaktif memberikan pandangan-pandangan yang membina.

“Jangan jadikan pertubuhan belia sebagai pentas untuk berpolitik atau untuk kepentingan peribadi,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata platform ini perlu digunakan untuk memberikan input yang bermanfaat kepada kerajaan supaya dapat bersama-sama membangunkan kembali negara.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda