PUTRAJAYA, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memperhalusi dan meneliti garis panduan sedia ada untuk penerbangan dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perkara tersebut akan dibincang bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta pihak berkaitan dalam penerbangan termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Beliau berkata ketika kini terdapat tiga pusat pengujian teknologi dron di negara iaitu di Pusat Kecemerlangan Area 57 di Taman Teknologi Malaysia (TPM) Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Zon dron dan robotik Iskandar – DRZ Iskandar di Medini serta Felda Mempaga, Pahang.
“Sebab itu kita bangunkan tapak pengujian dron di tiga lokasi ini supaya kita dapat lihat cabaran dan usaha yang perlu dipertingkat dari semasa ke semasa.
“Walaupun kita tahu peraturan ini dikawal oleh CAAM tetapi kita perlu tahu juga pemain dron perlu ada keluasan sama ada untuk rekreasi, pemantauan pertolongan, perniagaan dan sebagainya. Jadi, ini yang perlu kita selesaikan tahun ini dan kita akan bawa ke Kabinet untuk berbincang dengan MOT, MOSTI, MITI serta beberapa pihak dalam penerbangan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pembangunan Kerjaya dan Teknologi Dron Generasi Muda Malaysia di Bandar Tenggara, Johor hari ini.
Selain itu, Dr Adham berkata MOSTI menyasarkan seramai 1,000 juruterbang dron akan dihasilkan tahun ini sejajar perkembangan teknologi dron yang pantas.
Menurut Dr Adham, MOSTI juga akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran (KPM) sebagai usaha memperkenalkan teknologi dron di peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Kita akan berbincang dengan KPM mengenai penyertaan pelajar untuk memahami asas teknologi pada masa depan.
“Kita ada menjalin kerjasama dengan Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM), Majlis Belia Malaysia di samping syarikat korporat yang sanggup tampil untuk pastikan kita popularkan dron di peringkat sekolah,” katanya.
— BERNAMA