Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MMA Mahu Hukuman Paling Berat Terhadap Sijil Vaksinasi Palsu

By 19 Januari 2022Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes pengeluaran sijil vaksinasi COVID-19 palsu dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata hukuman paling berat harus dikenakan kerana ia adalah kesalahan serius yang boleh membahayakan nyawa orang ramai.

“Agak mengejutkan apabila lebih 5,000 sijil vaksinasi dikeluarkan oleh klinik di Gombak kepada individu yang tidak diberikan suntikan vaksin COVID-19.

“Kami tidak membenarkan golongan ini mencalarkan nama baik dan reputasi profesion ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Koh berkata MMA akan menyokong tindakan paling tegas dikenakan terhadap mana-mana pengamal perubatan yang didapati terlibat dalam tindakan jenayah dan tidak bertanggungjawab itu.

“Bagi pengamal berdaftar, lesen mereka boleh dibatalkan oleh Majlis Perubatan Malaysia. Unit Penguatkuasaan Kemudahan Swasta di Kementerian Kesihatan juga perlu mengambil langkah tegas lain seperti penutupan premis serta-merta dan mendakwa mereka yang terlibat di mahkamah,” katanya.

Semalam, MMA menerima aduan daripada individu mengenai sijil vaksinasi palsu dan akan membuat laporan polis. Orang ramai boleh menyalurkan aduan mereka menerusi e-mel ke [email protected].

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda